MUKAH: Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah memperuntukkan sebanyak RM50,000 menerusi inisiatif Bantuan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi kawasan DUN Tellian tahun ini.
Penerima bantuan tersebut terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Sikat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Randi Ugil, Rumah Empi Daweh dan Rumah Minggu Garung.
PIBG SK Nanga menerima peruntukan berjumlah RM20,000, manakala tiga lagi menerima RM10,000.
Menurut ADUN Tellian, Royston Valentine, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan.
“Ini bagi memastikan kebajikan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian, khususnya dalam aspek pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
“Diharapkan peruntukan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua penerima sama ada untuk meningkatkan kemudahan sekolah mahupun memperkukuh aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Bantuan Dana CSR, di Pejabat Jabatan Tanah dan Survei, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya pendekatan CSR oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Tanah dan Survei memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan inklusif.
Dalam pada itu, Royston memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan DUN Tellian dengan tumpuan kepada pendidikan, infrastruktur asas dan pembangunan sosial.