News

 

JTS Sarawak raih satu pingat emas, satu perak pada MTE 2026

Posted on 12 Apr 2026
Source of News: Utusan Borneo

Delegasi JTS merakamkan gambar di reruai JTS pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2026.

KUCHING:  Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak meraih satu pingat emas dan satu pingat perak pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April lalu.

Kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan dalam kategori International Innovation Award (IIM), sekali gus menyerlahkan keupayaan Sarawak dalam landskap inovasi sektor awam global.

Edisi ke-25 ekspo berprestij yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu menghimpunkan penyertaan lebih 30 negara merangkumi sektor kerajaan, akademik dan industri.

Pingat emas JTS diperoleh menerusi inovasi COMMANDS (Comprehensive Monitoring and Managing Dashboard for Survey) oleh Kumpulan Sassoku Tech dari JTS Kuching.

Sistem bersepadu itu memperkasa pemantauan serta pengurusan kerja pengukuran melalui penggunaan data secara menyeluruh dan masa nyata.

Sementara itu, inovasi Poletervation oleh Kumpulan Bistari Tech dari JTS Samarahan meraih pingat perak serta turut menerima The Best Award bagi kategori Machinery, Equipment and Tools and Manufacturing Process.

Poletervation turut mencatat kejayaan dalam kategori Public Service Innovation Asia (PSIA) apabila meraih Anugerah Emas serta menerima pengiktirafan khas daripada International Alliance of Innovation and Invention Association, manakala COMMANDS meraih perak dan anugerah khas daripada Chinese Innovation and Invention Society.

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam membudayakan inovasi, selaras dengan aspirasi PCDS 2030 serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berimpak tinggi.

"Kejayaan di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak, malah mencerminkan kesiapsiagaan jabatan dalam mendepani transformasi digital selaras dengan aspirasi PCDS 2030,” katanya.



image Polls
image Announcement