JTS Sarawak raih emas dan perak di Malaysia Technology Expo 2026
Posted on 11 Apr 2026
Source of News: Suara Sarawak
KUALA LUMPUR: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2026.
Pencapaian itu diraih menerusi penyertaan dalam Anugerah Inovasi Antarabangsa, sekali gus memperlihatkan kemampuan Sarawak dalam bidang inovasi sektor awam global.
Ekspo edisi ke-25 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April itu menghimpunkan penyertaan lebih 30 negara melibatkan sektor kerajaan, akademik dan industri.
Pingat emas dimenangi melalui inovasi COMMANDS yang dibangunkan Kumpulan Sassoku Tech daripada JTS Kuching, iaitu sistem bersepadu bagi memantau dan mengurus kerja ukur berasaskan data secara menyeluruh.
Sementara itu, inovasi Poletervation oleh Kumpulan Bistari Tech daripada JTS Samarahan meraih pingat perak serta Anugerah Terbaik bagi kategori jentera, peralatan, alat dan proses pembuatan.
Poletervation turut cemerlang dalam kategori Inovasi Perkhidmatan Awam Asia apabila meraih anugerah emas serta pengiktirafan khas daripada persatuan inovasi antarabangsa.
Dalam kategori sama, COMMANDS turut menerima pingat perak selain anugerah khas daripada badan inovasi China.
Menurut Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memacu inovasi selaras dengan aspirasi pembangunan digital negeri ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berimpak tinggi.
