News

 

JTS RAIH EMAS & PERAK DI PERINGKAT ANTARABANGSA, CEMERLANG DI MTE 2026

Posted on 11 Apr 2026
Source of News: -

Kuala Lumpur, 11 April 2026 – Malaysia Technology Expo 2026 menyaksikan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) sekali lagi mengukir nama di pentas antarabangsa apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak di bawah kategori International Innovation Award (IIM), sekali gus mengukuhkan reputasi Sarawak dalam landskap inovasi sektor awam global.

Berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April, edisi ke-25 ekspo berprestij ini menghimpunkan lebih 30 negara merentasi sektor kerajaan, akademik dan industri, menjadikannya antara platform inovasi paling kompetitif di rantau ini.

Pingat emas JTS diperoleh menerusi inovasi COMMANDS (Comprehensive Monitoring and Managing Dashboard for Survey) oleh Kumpulan Sassoku Tech dari JTS Kuching. COMMANDS adalah sebuah sistem bersepadu yang memperkasa pemantauan serta pengurusan kerja pengukuran berasaskan data secara menyeluruh.

Sementara itu, inovasi Poletervation oleh Kumpulan Bistari Tech dari JTS Samarahan meraih pingat perak, selain turut mencuri tumpuan apabila dianugerahkan The Best Award: Category Machinery, Equipment and Tools and Manufacturing Process. Ini adalah satu pengiktirafan yang menonjolkan keupayaan teknikal dan nilai praktikal inovasi tersebut di lapangan.

Kecemerlangan Poletervation tidak terhenti di situ. Di bawah kategori Public Service Innovation Asia (PSIA), inovasi berkenaan sekali lagi mengungguli persaingan dengan meraih Anugerah Emas, selain menerima pengiktirafan khas daripada International Alliance of Innovation and Invention Association.

Dalam kategori yang sama, COMMANDS turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila dianugerahkan perak, di samping menerima anugerah khas daripada Chinese Innovation and Invention Society.

Dari sudut impak, COMMANDS dilihat sebagai pemangkin kepada pengurusan kerja pengukuran yang lebih strategik melalui penggunaan analitik data secara masa nyata. Poletervation pula menawarkan pendekatan yang lebih sistematik dan efisien dalam operasi kerja lapangan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta ketepatan pengukuran tanah.

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi komitmen berterusan warga jabatan dalam membudayakan inovasi sebagai teras kecemerlangan organisasi.

“Kejayaan di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak, malah mencerminkan kesiapsiagaan jabatan dalam mendepani transformasi digital selaras dengan aspirasi PCDS 2030,” katanya.

Penyertaan dan kejayaan JTS di pentas MTE 2026 ini memperlihatkan keupayaan agensi awam negeri untuk bersaing secara global, di samping memperkukuh peranan inovasi sebagai pemacu utama kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berimpak tinggi dan berorientasikan rakyat.

Kumpulan Sassoku Tech menerima Anugerah Emas kategori IIA.



Kumpulan Bistari Tech penerima Anugerah Emas PSIA.


Delegasi JTS di booth Pameran JTS.


Delegasi JTS merakamkan kenangan di pentas utama MTE2026.



image Polls
image Announcement