SARATOK: Legasi cemerlang Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) sepanjang lima dekad perlu diteruskan dan diperkasakan demi manfaat generasi baharu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, tempoh 50 tahun tersebut memberikan pelbagai pengalaman dan pengajaran berharga ke arah penambahbaikan pada masa hadapan.
“Tugas kita adalah untuk terus mencari peluang yang boleh memberi manfaat terutama dalam pembangunan ekonomi. Laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan ambil serius.
“Di Saratok, semua wakil rakyat perlu mengenal pasti kawasan yang berpotensi supaya SALCRA dapat memainkan peranan membantu pembangunan.
“Legasi kecemerlangan SALCRA mesti diteruskan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi SALCRA berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Kawasan Pembangunan SALCRA Wilayah Saratok serta Pelancaran Logo Ulang Tahun Ke-50 SALCRA, di sini, hari ini.
Menurutnya, perjalanan SALCRA selama 50 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, malah membuktikan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh hak pemilikan tanah dan memacu pembangunan luar bandar.
Katanya, sebanyak 96 peratus tanah yang diusahakan SALCRA berjaya diserahkan dengan pengeluaran surat hak milik, mencerminkan kejayaan usaha sejak penubuhannya pada 1 Mei 1976.
“Di bawah Ordinan SALCRA, penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dilaksanakan selaras dengan Seksyen 19(1)(b) bagi memastikan pembangunan tanah dilakukan secara terancang dan mampan.
“Bagi mempercepat proses pengukuran, SALCRA turut bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) melalui penubuhan Kumpulan Ukur Dalaman pada 2020.
“Kumpulan ini berperanan mengenal pasti, mengukur serta mengesahkan tanah NCR di kawasan pembangunan SALCRA sebelum didaftarkan dan dikeluarkan hak milik di bawah Seksyen 18 KTN,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan surat hak milik tanah kepada 280 penerima dari 105 rumah panjang dan kampung.
Penyerahan itu melibatkan 373 lot tanah dengan 345 pemilik berdaftar, merangkumi keluasan keseluruhan sebanyak 626 hektar.
Lima estet terlibat ialah Estet Saribas (63 lot dengan 33 penerima), Estet Rimbas (69 lot dengan 60 penerima), Estet Saratok (103 lot dengan 75 penerima), Estet Roban Selatan (23 lot dengan 23 penerima) dan Estet Roban Utara (115 lot dengan 89 penerima).
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pemilik agar tidak menjual tanah yang mempunyai hak milik sah demi menjaga kepentingan jangka panjang.
Mengulas sambutan ulang tahun ke-50 SALCRA, beliau berkata ia menjadi platform penting untuk menzahirkan pencapaian dan sumbangan agensi tersebut sepanjang lima dekad.