News

 

Pemilikan Tanah Kunci Kestabilan Ekonomi Rakyat, 280 Terima Hak Milik di Saratok

Posted on 27 Mar 2026
Source of News: Ukas Sarawak


SARATOK: Rakyat perlu melihat tanah sebagai aset jangka panjang yang boleh diusahakan bagi menjana pendapatan dan memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

Demikian tegas Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit Roban Selatan, SALCRA, pada Rabu.

Menurut beliau, pemilikan tanah bukan sekadar hak, malah merupakan aset strategik yang mampu menjamin kestabilan ekonomi keluarga serta menyokong agenda keterjaminan makanan negeri, khususnya dalam berdepan cabaran global yang semakin tidak menentu.

Dalam majlis tersebut, seramai 280 penerima daripada 105 rumah panjang menerima Surat Hakmilik Tanah melibatkan 373 lot dengan keluasan keseluruhan 626 hektar.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan dihadiri kira-kira 500 orang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Maclaine @ Martin Ben, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri, Senator Dewan Negara Pele Peter Tinggom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Kalaka Mohamad Duri serta Pengurus Besar SALCRA Dato Joseph Blandoi.

Tambah beliau, rakyat tidak perlu bimbang kehilangan tanah, sebaliknya perlu bijak mengurus dan memanfaatkan tanah sebagai sumber ekonomi yang produktif.

Menurut beliau lagi, SALCRA telah berjaya menyerahkan kira-kira 96 peratus tanah kepada pemilik asal, manakala baki masih dalam proses penyelesaian.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pertanian moden secara berkelompok perlu terus diperkasa dengan memberi penekanan kepada kualiti hasil selain mendapatkan khidmat nasihat teknikal bagi meningkatkan produktiviti.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa dalam keadaan dunia berdepan pelbagai cabaran dan konflik, pemilikan tanah memberi kelebihan kepada rakyat untuk mengusahakan sumber makanan sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah bagi penanaman padi, selain menyediakan kemudahan infrastruktur dan mekanisasi bagi menyokong pembangunan sektor pertanian.

Dalam perkembangan sama, majlis turut menyaksikan pelancaran lembut (soft launching) logo ulang tahun ke-50 SALCRA sempena Sambutan Jubli Emas agensi tersebut, sebagai simbol pencapaian lima dekad dalam pembangunan tanah luar bandar di Sarawak.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pemilikan tanah serta memacu pembangunan ekonomi luar bandar secara inklusif dan mampan. -EDISI UKAS


image Polls
image Announcement