News

 

Detik Dinanti Tiba: Umat Islam Sambut Syawal Sabtu Ini

Posted on 20 Mar 2026
Source of News: UKAS Sarawak

KUCHING: Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac 2026.

Demikian pengumuman yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, pada malam Khamis.

Sementara itu, majlis Rukyah Hilal bagi menentukan permulaan 1 Syawal 1447 Hijrah dilaksanakan secara rasmi di tiga lokasi utama di Sarawak, pada petang Khamis.

Di Teluk Bandung, Kuching, majlis cerapan disertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junadi.

Selain itu, cerapan turut dijalankan di Pusat Falak Miri serta Tanjung Batu, Bintulu dengan penglibatan pegawai falak yang dilantik serta kerjasama agensi-agensi Islam negeri.

Pelaksanaan rukyah hilal ini merupakan kaedah penting dalam penentuan awal bulan Syawal yang menggabungkan cerapan fizikal dan pengiraan astronomi bagi memastikan ketepatan tarikh sambutan Aidilfitri.

Majlis tersebut turut disertai pemimpin masyarakat dan wakil agensi berkaitan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh penyelarasan penentuan tarikh penting umat Islam di Sarawak.-EDISI UKAS


image Polls
image Announcement