News

 

LANDAS Miri jayakan agihan 380 bungkus bubur pedas

Posted on 12 Mar 2026
Source of News: Utusan Borneo

MIRI: Sebanyak 380 bungkus bubur pedas diagihkan kepada orang ramai menerusi Program Agihan Bubur Pedas anjuran bersama Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) Miri dan Surau LANDAS Miri, semalam.

Program yang bermula sekitar jam 3.30 petang itu diadakan di pekarangan luar bangunan Medan Niaga SEDC di sini dan pengagihan dilaksanakan secara pandu lalu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan hidangan berkenaan menjelang waktu berbuka puasa.

Menurut Pengerusi Surau LANDAS Miri Awang Mohd Indera Putera Awang Adnan, program pengagihan bubur pedas yang juga hidangan tradisional popular di Sarawak itu merupakan penganjuran kali kedua, selepas program pertama diadakan pada 2025 yang menyaksikan pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat setempat.

Anthony mengagihkan bubur pedas kepada orang ramai dalam Program Agihan Bubur Pedas yang berlangsung di Miri, semalam.

Menurut beliau, objektif utama program adalah untuk mengeratkan hubungan antara Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dengan komuniti sekitar, selain berkongsi rezeki serta menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan.

"Di samping itu, inisiatif ini juga menjadi platform memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang, selain menggalakkan warga jabatan berganding bahu dalam aktiviti kebajikan," katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Turut hadir memeriahkan program berkenaan ialah Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Miri merangkap Pengerusi Kelab LANDAS Anthony Aboi.



image Polls
image Announcement