KUCHING: Kampung Tebakang Bidayuh dan Kampung Pichin di Bahagian Serian menerima dana berjumlah RM70,000 di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Serian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, dana tersebut disalurkan bagi membantu komuniti setempat yang terkesan secara langsung akibat aktiviti pemindahan bahan batuan atau perlombongan.
Menurutnya, dana CSR tersebut disumbangkan oleh BE Borneo Quarry Sdn Bhd selepas Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli meluluskan penyaluran bantuan berjumlah RM70,000 untuk disalurkan kepada kedua-dua kampung berkenaan.
“Sehubungan itu, kita berterima kasih kepada JTS Bahagian Serian atas keprihatinan mereka terhadap masyarakat kampung yang memerlukan bantuan.
“Saya harap program seumpama ini dapat terus memberi manfaat kepada komuniti setempat serta mengeratkan hubungan dan persefahaman antara jabatan kerajaan, masyarakat dan pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek bagi sesi pertama tahun 2026 Program CSR di Pejabat Residen Bahagian Serian pada Selasa.
Dr Simon berkata, program CSR tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bersama syarikat pemegang lesen atau tenemen mineral yang dikeluarkan oleh JTS bagi membantu komuniti bandar dan pinggir bandar yang terjejas akibat aktiviti pemindahan bahan batuan atau perlombongan.
Katanya, pemilihan penerima dana dilaksanakan secara bergilir setiap tahun bagi memastikan kesamarataan serta liputan menyeluruh kepada komuniti yang terjejas akibat aktiviti industri.
“Sebelum ini, program CSR yang sama turut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa syarikat industri lain seperti Pendu Quarry Sdn Bhd dan Magna Focus Sdn Bhd.
“Ia melibatkan beberapa kampung penerima termasuk Kampung Plaman Payang, Kampung Tanah Puteh, Kampung Sebamban, Kampung Prutan di Serian serta Kampung Endap di Kota Samarahan,” katanya.