News

 

JTS EDAR 600 BUBUR LAMBUK, RAI 50 PESERTA KHATAMAL AL-QURAN

Posted on 07 Mar 2026
Source of News: RTM Sarawak

KUCHING, 7 Mac – Sebanyak 600 pek bubur lambuk diedar Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, JTS kepada kakitangan dan orang awam sempena penganjuran Program Ihya’ Ramadan di Kuching semalam.

Program berkenaan merupakan inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat jabatan selain menggalakkan amalan bersedekah serta budaya berkongsi rezeki dalam kalangan warga kerja dan masyarakat.

Bubur lambuk tersebut diedarkan kepada warga kerja di Menara Pelita serta orang awam yang melalui Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub.

Pengagihan diketuai Timbalan Pengarah Pengurusan JTS, Sr. Rozlan Putit bersama Timbalan Pengarah Operasi, TPr. Irene Wee Siew Liang.

Selain pengagihan bubur, turut diraikan 50 peserta Khatamal Al-Quran.

Mereka terdiri dari kakitangan Ibu Pejabat JTS, JTS Serian serta pesara jabatan.

Majlis berkenaan dihadiri Pengarah JTS, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood.

Penganjuran program berkenaan diharap dapat memperkukuh hubungan silaturahim antara warga jabatan dan masyarakat, di samping meningkatkan penghayatan agama serta semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.


image Polls
image Announcement