News

 

JTS edar 600 pek bubur lambuk sempena Ramadan

Posted on 07 Mar 2026
Source of News: Suara Sarawak

AGIHAN… Rozlan Putit mengagihkan bubur lambuk kepada orang awam di hadapan Menara Pelita di sini, semalam. FOTO JTS

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) menyemarakkan bulan Ramadan menerusi penganjuran Program Ihya’ Ramadan dengan pelbagai pengisian rohani serta aktiviti kebajikan untuk warga kerja dan masyarakat.

Antara pengisian utama program ini ialah majlis khatam al-Quran yang melibatkan seramai 50 peserta terdiri daripada kakitangan Ibu Pejabat JTS, JTS Serian dan pesara jabatan.

Majlis ini turut dihadiri Pengarah JTS Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood, Timbalan Pengarah Pengurusan Rozlan Putit dan barisan pengurusan tertinggi jabatan.

Pada masa yang sama, para peserta bersama-sama menyempurnakan bacaan al-Quran sehingga khatam sekali gus menzahirkan semangat kebersamaan dan komitmen warga jabatan dalam mengimarahkan bulan Ramadan.

Selain itu, program ini turut diteruskan dengan ceramah Ramadan bertajuk Istiqamah Ibadah Selepas Ramadan yang disampaikan oleh Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Sarawak Mohamad Syarifuddin Abdul Kadir.

Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan mengekalkan amalan ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan agar dapat diteruskan secara konsisten dalam kehidupan seharian.

Selain pengisian kerohanian, JTS turut mengedarkan sebanyak 600 pek bubur lambuk kepada warga kerja di Bangunan Menara Pelita dan orang awam sebagai sebahagian inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat jabatan.

Agihan bubur lambuk dilakukan di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub berhadapan laluan masuk ke Menara Pelita dan diketuai oleh Rozlan bersama Timbalan Pengarah Operasi JTS Irene Wee Siew Liang.

Penganjuran program ini bukan sahaja meningkatkan penghayatan agama dalam kalangan warga kerja JTS, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan serta masyarakat di samping menyemai semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.



image Polls
image Announcement