JTS Edar 600 Pek Bubur Lambuk Sempena Program Ihya’ Ramadan
Posted on 07 Mar 2026
Source of News: UKAS Sarawak
KUCHING: Sebanyak 600 pek bubur lambuk diedarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) kepada warga kerja di Menara Pelita serta orang awam sempena penganjuran Program Ihya’ Ramadan, pada Jumaat.Program tersebut merupakan antara inisiatif kebajikan jabatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemarakkan semangat Ramadan di samping menggalakkan amalan bersedekah serta berkongsi rezeki dalam kalangan warga kerja dan masyarakat.
Agihan bubur lambuk berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan serta pengunjung yang hadir, sekali gus memeriahkan suasana Ramadan di Menara Pelita.
Edaran bubur lambuk kepada orang awam yang melalui Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub berhampiran laluan masuk ke Menara Pelita telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Pengurusan JTS, Rozlan Putit bersama Timbalan Pengarah Operasi, Irene Wee Siew Liang.
Turut hadir Penolong-Penolong Pengarah serta pegawai-pegawai JTS yang sama-sama menjayakan program berkenaan.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan silaturahim antara warga jabatan dan masyarakat, di samping menyemai semangat kebersamaan serta budaya berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan. -EDISI UKAS