Irene bersama kepimpinan jabatan menyantuni masyarakat dengan membantu mengagihkan bubur lambuk dan mempamerkan semangat ukhuwah yang merentasi latar belakang budaya.
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak mengedarkan sebanyak 600 pek bubur lambuk kepada warga kerja di Bangunan Menara Pelita, Kuching serta orang awam sempena penganjuran Program Ihya’ Ramadan, pada Jumaat.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif kebajikan jabatan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemarakkan semangat Ramadan.
"Di samping itu, program ini menggalakkan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki dalam kalangan warga kerja dan masyarakat," menurut kenyataan JTS.
Agihan bubur lambuk tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan serta pengunjung, sekali gus memeriahkan suasana Ramadan di Menara Pelita.
Edaran bubur lambuk kepada orang awam yang melalui Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub berhadapan laluan masuk ke Menara Pelita telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Pengurusan JTS Rozlan Putit, bersama Timbalan Pengarah Operasi Irene Wee Siew Liang.
Turut hadir ialah Penolong-Penolong Pengarah JTS serta pegawai-pegawai jabatan yang lain.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat terus memperkukuh silaturahim antara warga jabatan dan masyarakat, di samping menyemai semangat kebersamaan serta budaya berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.