News

 

JTS agih kutipan dana CSR kepada 10 penerima di Miri

Posted on 01 Mar 2026
Source of News: Utusan Borneo

Penguang (tengah) bersama wakil penerima dan tetamu kehormat di JTS Miri semalam.

MIRI: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) telah menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada 10 penerima di bahagian Miri semalam.

JTS telah melaksanakan kutipan dana bagi Tabung Dana Amanah CSR itu sejak 1 Januari 2021 dalam inisiatif yang digerakkan di bawah Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.

Fokus strategi tersebut dalam sektor perlombongan bukan sahaja untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga menjurus ke arah keseimbangan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Dana dikutip secara bulanan oleh JTS berdasarkan jumlah bahan yang diekstrak setiap syarikat pemegang lesen.

Bagi tahun semasa, 10 penerima dipilih untuk menerima manfaat daripada inisiatif itu melibatkan tiga daerah di bahagian Miri.

Untuk daerah Miri, penerima ialah Masjid Nurul Ibadah Kampung Muhibbah, Kuala Baram dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid.

Untuk daerah Telang Usan, penerima ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ubung Imang Long Lama, SK Long Laput, Pertubuhan Agama Buddha Long Lama dan JKKK Kampung Cina.

Untuk daerah Marudi, penerima ialah JKKK Kampung Narum, JKKK Kampung Pemindahan Marudi, Rumah  Giling Manggai dan Rumah James Ansi.

Majlis simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I (Kesihatan Awam dan Perumahan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil di JTS Miri.

Dalam ucapannya, Penguang merakamkan penghargaan terhadap pelaksanaan program tersebut yang disifatkan memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat setempat.

Beliau turut mengingatkan semua penerima agar menyediakan laporan aktiviti berkaitan penggunaan peruntukan sebagai langkah memastikan sumbangan yang diterima dimanfaatkan secara telus dan berkesan demi kepentingan komuniti.

Dalam pada itu, pemilihan penerima dilaksanakan secara bergilir pada setiap tahun bagi memastikan kesamarataan dan liputan yang menyeluruh kepada komuniti yang terjejas oleh aktiviti perlombongan di seluruh Sarawak.

Program kelmarin merupakan program sulung yang melibatkan komuniti daerah Marudi dan merupakan program komuniti yang kedua melibatkan daerah Miri dan Telang Usan.

Tiga syarikat yang terlibat dalam sumbangan ini ialah Magna Focus Sdn Bhd (LMBB Pasir) bagi kawasan Miri/Long Lama/Marudi, selain Perfect Orchard Sdn Bhd (LMBB Kuari) dan Hollystone Quarry Sdn Bhd (LMBB Kuari) bagi kawasan Long Lama.

Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Miri Anthony Abui, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda serta wakil Pegawai Daerah Miri Edward Tawang.



image Polls
image Announcement