Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood menandatangani dua Pekeliling Penguatkuasa dan Mineral Jabatan sempena pada Sidang Kemuncak Landas 2026 di Bintulu, hari ini.
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak hari ini memaklumkan bahawa Bahagian Penguatkuasa JTS Sarawak telah dijenamakan semula sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
JTS dalam kenyataan menyatakan penjenamaan itu selaras dengan Pekeliling Penguatkuasa dan Mineral.
“Penjenamaan semula ini bertujuan memperkukuh peranan dan fungsi penguatkuasaan tanah serta pengurusan dan kawal selia mineral di Sarawak, sejajar dengan perkembangan pesat sektor pembangunan tanah dan mineral di negeri ini.
“Langkah tersebut juga menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030 yang mengenal pasti sektor mineral sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak,” menurut kenyataan.
Katanya, menurut pekeliling berkenaan, di peringkat Ibu Pejabat, Bahagian Penguatkuasa kini dikenali sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral manakala Ketua Bahagian Penguatkuasa dikenali sebagai Penolong Pengarah Penguatkuasa dan Mineral.
Manakala di peringkat Pejabat Bahagian, Seksyen Penguatkuasa dikenali sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral Bahagian dengan Ketua Seksyen Penguatkuasa dikenali sebagai Ketua Cawangan Penguatkuasa dan Mineral Bahagian.
Seiring dengan penjenamaan semula ini, struktur organisasi Cawangan Penguatkuasa dan Mineral turut diperkemas. Bagi Ibu Pejabat, cawangan ini disokong oleh lima seksyen utama.
“Ia termasuk Seksyen Pelesenan dan Mineral, Seksyen Pencegahan dan Operasi, Seksyen Siasatan dan Pendakwaan, Seksyen Pembangunan dan Kegunaan Tanah serta Seksyen Aset, Lojistik dan Tadbir Urus Cawangan.
“Manakala untuk Peringkat Pejabat Bahagian pula, sokongan operasi dilaksanakan melalui Unit Fizikal dan Operasi serta Unit Pelesenan,” katanya.
Pekeliling itu juga memperincikan saluran pemerintahan (chain of command) yang jelas bagi memastikan arahan, penyelarasan dan pentadbiran dilaksanakan secara berkesan dan berdisiplin, selaras dengan peruntukan Perintah-Perintah Am Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
JTS yakin bahawa penjenamaan semula dan penstrukturan itu akan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, meningkatkan tadbir urus sumber tanah dan mineral serta menyokong pembangunan industri mineral yang bertanggungjawab dan mampan demi kepentingan negeri dan rakyat Sarawak.