News

 

JTS Sarawak perkukuh pengurusan tanah dan mineral

Posted on 11 Feb 2026
Source of News: Suara Sarawak


Sekitar rakaman semasa upacara menandatangani Pekeliling Penguatkuasa dan Mineral.

KUCHING: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah dijenamakan semula sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu selaras dengan Pekeliling Penguatkuasa dan Mineral No. 1/2026.

JTS berkata, penjenamaan semula ini bertujuan memperkukuh peranan dan fungsi penguatkuasaan tanah serta pengurusan dan kawal selia mineral di Sarawak, sejajar dengan perkembangan pesat sektor pembangunan tanah dan mineral di negeri ini.

“Langkah tersebut juga menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang mengenal pasti sektor mineral sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi baharu di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut pekeliling berkenaan, tambah JTS,
di peringkat Ibu Pejabat, Bahagian Penguat kuasa kini dikenali sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral, manakala Ketua Bahagian Penguatkuasa dikenali sebagai Penolong Pengarah Penguatkuasa dan Mineral.

Jelasnya, bagi Peringkat Pejabat Bahagian, Seksyen Penguatkuasa pula dikenali sebagai Cawangan Penguatkuasa dan Mineral Bahagian dengan Ketua SeksyenPenguatkuasa dikenali sebagai Ketua Cawangan Penguatkuasa dan Mineral Bahagian.

“Justeru, seiring dengan penjenamaan semula ini, struktur organisasi Cawangan Penguatkuasa dan Mineral turut diperkemas dengan Ibu Pejabat, cawangan ini disokong oleh lima seksyen utama iaitu Seksyen Pelesenan dan Mineral; Seksyen Pencegahan dan Operasi; Seksyen Siasatan dan Pendakwaan; Seksyen Pembangunan dan Kegunaan Tanah; serta Seksyen Aset, Lojistik dan Tadbir Urus Cawangan.

“Di Peringkat Pejabat Bahagian pula, sokongan operasi dilaksanakan melalui Unit Fizikal dan Operasi serta Unit Pelesenan,” ujarnya.

JTS menerusi kenyatan yang sama memberitahu, pekeliling tersebut turut memperincikan saluran pemerintahan (chain of command) yang jelas untuk memastikan arahan, penyelarasan dan pentadbiran dilaksanakan secara berkesan dan berdisiplin, selaras dengan peruntukan Perintah-Perintah Am Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

“JTS yakin bahawa penjenamaan semula dan penstrukturan ini akan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, meningkatkan tadbir urus sumber tanah dan mineral serta menyokong pembangunan industri
mineral yang bertanggungjawab dan mampan demi kepentingan negeri dan rakyat Sarawak,” tegasnya.



image Polls
image Announcement