News

 

Kerajaan jamin pemilikan tanah NCR terpelihara

Posted on 04 Feb 2026
Source of News: Suara Sarawak

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah). Foto TVS

BUKIT SABAN: Lebih 6,000 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban dikenal pasti untuk dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan syarikat swasta, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar di kawasan berkenaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi perkongsian pintar antara pemilik tanah dan pihak swasta berpengalaman, khususnya dalam pembangunan ladang kelapa sawit secara komersial.

Menurutnya, inisiatif itu memberi peluang kepada pemilik tanah NCR memanfaatkan tanah yang selama ini terbiar bagi menjana pendapatan secara berterusan dan lebih mampan.

“Projek ini memberi peluang kepada rakyat memanfaatkan tanah NCR yang selama ini terbiar supaya dapat menjana pendapatan secara berterusan kepada pemilik tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Dialog Program Peningkatan Sosio Ekonomi Bukit Saban bersama kira-kira 200 penduduk dari sembilan rumah panjang di kawasan Ulu Paku dan Rimbas di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, semalam.

Uggah yang juga ADUN Bukit Saban menjelaskan, syarikat swasta terlibat mempunyai rekod cemerlang apabila berjaya membangunkan lebih 45,000 hektar ladang menerusi model kerjasama sama di beberapa kawasan lain di Sarawak.

Katanya, kejayaan itu menjadi asas keyakinan kerajaan bahawa projek serupa mampu dilaksanakan dengan berkesan di Bukit Saban.

“Pengalaman dan pencapaian pihak swasta itu memberi jaminan bahawa projek ini dapat direalisasikan secara teratur serta menguntungkan semua pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pemilikan tanah rakyat akan kekal terpelihara apabila kerajaan melaksanakan proses pengukuran serta pengeluaran geran NCR secara percuma kepada pemilik terlibat.

“Tanah ini kekal milik rakyat. Tiada penjualan tanah, sebaliknya hanya kerjasama pembangunan bagi memastikan tanah tersebut memberi pulangan ekonomi,” tegasnya. – TVS



image Polls
image Announcement