News

 

79 pemilik tanah dalam projek naik taraf Jalan Nanga Lasi terima pampasan RM2.9 juta

Posted on 03 Feb 2026
Source of News: Suara Sarawak

Rolland Duat menerima cenderahati pada majlis penyerahan sijil lantikan kepada KMKK Daerah Julau sambil diperhatikan tetamu lain

JULAU: Seramai 79 pemilik tanah yang terlibat dalam projek naik taraf Jalan Nanga Lasi akan menerima pampasan keseluruhan berjumlah RM2.9 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin, berkata pampasan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara adil tanpa mengabaikan hak pemilikan tanah rakyat.

Menurut beliau, projek naik taraf jalan berkenaan merupakan fasa kedua pembangunan infrastruktur jalan raya di kawasan Lasi dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

Katanya, projek itu melibatkan pembinaan jalan Kategori R3 dengan kelebaran 30 meter dan panjang keseluruhan sejauh 8.5 kilometer.

“Pampasan ini menunjukkan kerajaan negeri tidak mengambil tanah rakyat sewenang-wenangnya, sebaliknya berusaha menyeimbangkan pembangunan dengan hak pemilikan tanah melalui bayaran ganti rugi yang sah dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyerahan Sijil Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Julau, hari ini.

Rolland turut menjelaskan bahawa projek berkenaan merangkumi pembinaan lima buah jambatan di sepanjang jajaran jalan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jalan berturap itu akan memudahkan pergerakan harian penduduk selain meningkatkan akses ke pusat ekonomi, pendidikan serta perkhidmatan asas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata perubahan ketara dapat dilihat di Nanga Lasi yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai kawasan pedalaman.
“Kini, kawasan ini boleh dikategorikan sebagai luar bandar susulan jaringan jalan raya yang semakin baik dan mudah dilalui,” katanya.

Tambah beliau, sebuah jambatan baharu yang menghubungkan sembilan rumah panjang, sebuah klinik dan sebuah sekolah turut dibina selepas lebih 60 tahun dinantikan oleh penduduk setempat.

Jambatan itu telah dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada September tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Rolland berkata Kerajaan Sarawak turut meluluskan projek pembinaan jalan yang menghubungkan kawasan Ulu Lijan.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka ditender pada tahun ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM85 juta.



image Polls
image Announcement