Datuk Rubiah Wang dan Datuk Liwan Lagang ketika lawatan kerja ke Kampung Tanjung Bundong Fasa 4, di sini, hari ini. FOTO: UKAS
KOTA SAMARAHAN: Usaha menyalurkan bekalan air terlebih dahulu kepada penduduk Kampung Tanjung Bundong Fasa 4 kini diberi keutamaan oleh kerajaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata langkah sementara bagi menangani masalah bekalan air ialah pemasangan tangki air, manakala projek elektrik dan pembinaan jalan masih menunggu kelulusan teknikal.
“Keutamaan ketika ini ialah bekalan air kerana ia merupakan keperluan asas segera, manakala projek elektrik dan infrastruktur jalan memerlukan tempoh lebih panjang serta kos yang lebih tinggi.
“Yang penting sekarang, kita mahu memastikan bekalan air dapat disalurkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke Kampung Tanjung Bundong Fasa 4 bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemasangan tangki air sementara di kawasan balai dijangka dapat menampung keperluan penduduk sebelum sistem bekalan kekal dilaksanakan.
“Projek sementara dijangka bermula dalam tempoh kira-kira sebulan sekiranya proses berjalan lancar. Kita berharap sebelum musim perayaan, sekurang-kurangnya penduduk sudah dapat menikmati bekalan air.
“Sistem sedia ada juga akan diuji bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan lebih baik,” ujarnya.
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa komited mencari penyelesaian terbaik, termasuk menggunakan kaedah luar kebiasaan.
“Langkah ini bertujuan mempercepatkan penyelesaian isu utiliti asas di kawasan penempatan baharu,” katanya.
