News

 

64 Terima Pampasan Projek Lebuh Raya Berkembar Serian Gedong Samarahan

Posted on 30 Jan 2026
Source of News: Suara Sarawak

MESRA… Sagah, turut kelihatan Datuk Peter Minos dan rombongan pegawai Tanah dan Survei pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Pembinaan Lebuh Raya Berkembar Serian–Gedong–Samarahan di Dewan Serbaguna Kampung Rayang, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

SERIAN
: Sebanyak RM8.39 juta pampasan tanah diserahkan kepada 64 penerima melibatkan pembinaan Projek Lebuh Raya Berkembar Serian–Gedong–Samarahan yang dijangka meningkatkan akses perjalanan penduduk di sepanjang jajaran laluan berkenaan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek itu bakal memudahkan penduduk dengan perjalanan yang lebih selamat dan selesa, selain memberi akses yang lebih baik kepada perkhidmatan awam seperti sekolah dan klinik.

“Projek ini juga meningkatkan peluang ekonomi serta memendekkan masa perjalanan di antara Serian dengan Kuching.

“Memandangkan lebuh raya Pan Borneo menghubungkan Lawas ke Kuching melalui Serian, jalan ini juga akan berfungsi sebagai laluan alternatif bagi pengguna yang menuju ke Kuching,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Tarat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Pembinaan Lebuh Raya Berkembar Serian–Gedong–Samarahan di Dewan Serbaguna Kampung Rayang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sokongan penduduk dengan projek ini dicerminkan melalui kerjasama pemilik tanah terlibat dalam mempercepat pelaksanaan projek.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan dilaksanakan secara serentak di beberapa bahagian pentadbiran termasuk Kota Samarahan, dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei serta penduduk setempat.

“Keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dengan pembinaan beberapa jambatan diperlukan di sepanjang jajaran laluan.

“Antara komponen utama projek ini ialah pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Sebemban dan Kampung Gumpey di Gedong.

“Rangkaian jalan ini juga akan diintegrasikan dengan Transit Aliran Autonomi (ART) pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan di antara Gedong dengan Serian,” ujarnya.

“Secara keseluruhan, sebanyak 70 keping cek diserahkan kepada 64 penerima dengan jumlah RM8,392,133.74.
usteru, Sagah turut memberi jaminan kepada pemilik tanah yang masih belum menerima pampasan agar bersabar dan memaklumkan bahawa bayaran akan diteruskan dalam kelompok seterusnya.



image Polls
image Announcement