Sekitar rakaman ketika Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan di Kompleks Pejabat Pentadbiran (AOC) Lawas, semalam.
LAWAS: Kompleks Pejabat Pentadbiran (AOC) Lawas dijangka mula diduduki oleh jabatan kerajaan selewat-lewatnya pada Februari depan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di bahagian utara Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, operasi pentadbiran di kompleks berkenaan dijadualkan bermula sepenuhnya pada Mac ini, sekali gus membolehkan urusan rakyat dengan agensi kerajaan dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih tersusun, moden dan kondusif.
“Pembinaan Kompleks AOC Lawas bukan sekadar penyediaan infrastruktur fizikal, malah merupakan pelaburan strategik Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta merapatkan jurang akses kemudahan kerajaan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di sini, semalam.
Tambah beliau, projek tersebut turut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan seimbang di seluruh wilayah termasuk kawasan sempadan, selaras dengan aspirasi memperkukuh tadbir urus serta kesejahteraan rakyat.
Kompleks AOC Lawas dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi setempat, selain meningkatkan imej perkhidmatan awam yang lebih profesional dan mesra rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau semalam turut mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang yang telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 85.52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2026.
Mohamad Abu Bakar Marzuki memaklumkan IAC Limbang bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan pentadbiran dan ekonomi di bahagian berkenaan.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memastikan setiap projek pembangunan utama dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan serta memberi manfaat optimum kepada rakyat.
Terdahulu pada sebelah pagi, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Datuk Baduyah Bujang serta rombongan tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pandaruan.
Pada sebelah petang semalam, beliau meneruskan lawatan ke tapak cadangan Projek Pembinaan Kuarters Kerajaan.
Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan sesi randau bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak.