News

 

Cek pampasan lebih RM4 juta bagi Projek Peninggian Jalan Musi–Buso telah diagih

Posted on 19 Jan 2026
Source of News: Utusan Borneo

Henry (depan, enam kanan) bergambar bersama para pemilik tanah selepas penyerahan cek pampasan.

BAU: Cek pampasan berjumlah lebih RM4 juta bagi fasa pertama Projek Peninggian Jalan Musi–Buso telah diagihkan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu berkata, jumlah keseluruhan pampasan bagi projek tersebut melebihi RM11 juta dan beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) atas pengeluaran cek pampasan berkenaan.

“Baki kira-kira RM7 juta lagi akan diserahkan kepada pemilik tanah yang terlibat dan dijangka dapat diagihkan sebelum Tahun Baharu Cina. 

“Saya juga yakin JTS dapat menyiapkan pengeluaran cek tersebut selewat-lewatnya pada 17 Februari,” katanya ketika ditemui media hari ini. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para pemilik tanah atas sokongan padu yang diberikan, sambil menyatakan bahawa walaupun pampasan belum dibayar pada peringkat awal, mereka tidak teragak-agak untuk memberi kerjasama sehingga membolehkan projek dimulakan lebih awal.

“Penduduk mahukan pembangunan dan sanggup menyerahkan tanah mereka terlebih dahulu. Ini merupakan satu situasi yang sangat positif, khususnya untuk pembangunan kawasan luar bandar,” katanya.

Henry turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan memberi jaminan bahawa semua bayaran pampasan akan disalurkan sepenuhnya.

“Projek ini akan dilaksanakan dengan teliti serta dipantau rapi bagi memastikan ia siap dalam tempoh yang ditetapkan. 

“Projek ini melibatkan pembinaan jalan dua lorong satu hala, yang bermula pada Disember tahun lalu dan dijangka mengambil masa dua tahun atau lebih untuk disiapkan,” katanya.

Pada majlis penyerahan cek pampasan di Balai Raya Musi di sini hari ini, Henry turut  berkata lebih 150 lot tanah terlibat dalam projek berkenaan.

Bagi fasa pertama, seramai 78 pemilik tanah terlibat dengan sebanyak 88 cek pampasan telah dikeluarkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan Bau kini mengalami kesesakan lalu lintas, menyebabkan pengguna jalan raya perlu melalui kawasan Central Rise untuk ke Batu Kawa dan Kuching.

“Apabila jalan ini siap kelak, produktiviti dan tahap perhubungan akan bertambah baik dengan ketara. Pembangunan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan akhirnya akan berlaku, sama ada untuk tujuan perumahan, komersial atau perindustrian,” katanya.

Mengulas mengenai situasi banjir baru-baru ini, beliau berkata banjir pada tahun ini tidak seteruk tahun-tahun sebelumnya, sambil menambah bahawa pelbagai pihak terlibat secara langsung di lapangan semasa kejadian banjir yang melanda kawasan Bau.

Antara yang hadir semasa pengagihan cek pampasan ialah Penguasa Bahagian Kuching JTS Awang Nazri Awang Saperi.



image Polls
image Announcement