BINTULU: Hari Keluarga Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dilihat sebagai platform terbaik bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga warga kerjanya, kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Menurutnya, program sebegini bukan sahaja membolehkan setiap ahli keluarga melakukan aktiviti bersama-sama, namun apa yang penting sekali ialah warga JTS saling mengenali dan berinteraksi sesama sendiri sebagai sebuah keluarga yang besar.
"Maksudnya di sini ialah jalinan serta perkaitan erat antara sesama kakitangan dan ahli keluarga masing-masing dan seluruh warga JTS secara keseluruhannya akan memastikan institusi kekeluargaan akan terus utuh seimbang dengan kerja," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Hari Keluarga JTS Bintulu pada Sabtu lalu.
Iskandar menyifatkan hari keluarga dianjurkan dengan jaya dan meriah kerana semua warga kerja dan keluarga mereka saling bekerjasama bagi menjayakan setiap aktiviti atau pengisian program yang dirancang.
"Suasana sebeginilah yang kita semua mahu lihat yang mana ia berlangsung dengan meriah serta gelak tawa, jelas terasa semangat kekeluargaan yang cukup indah," jelasnya.
Program sedemikian katanya, sangat bermakna kerana bukan sahaja menghimpunkan warga jabatan bersama keluarga, malah mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kerjasama serta mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan berkeluarga.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan rasa penghargaan serta tahniah kepada pihak penganjur atas usaha serta komitmen yang ditunjukkan bagi menjayakan program tersebut.
Jelas terpancar kesungguhan demi kebajikan dan kesejahteraan semua warga JTS yang mana program sebegini harus diteruskan lagi pada masa akan datang serta menjadi kenangan manis buat seluruh ahli keluarga yang hadir.