News

 

JTS Sarawak santuni 'pejuang cilik' di SCCS Kuching

Posted on 11 Jan 2026
Source of News: Utusan Borneo


Zamhari (tengah, belakang) bersama Mary (sembilan kiri) serta warga SCCS dan Unit Perhubungan Awam JTS merakam kenangan sempena program Landas Gives Back – Love In A Box.

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah menyantuni kanak-kanak pesakit kanser di Pusat Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) Kuching bersempena sambutan Tahun Baharu 2026.

Menurut kenyataan JTS hari ini, program bertemakan kasih sayang dan kebersamaan itu diadakan bagi meraikan semangat juang ‘pejuang cilik’ di pusat berkenaan, di samping menyampaikan sumbangan hasil kempen dalaman pihaknya, “Landas Gives Back – Love In A Box.”

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Zamhari Awang Mahmood berkata, melalui program ‘Love In A Box’, warga kerja JTS bersatu hati mengumpul, menyumbang dan membalut sendiri hadiah-hadiah seperti mainan, set keperluan sekolah, alat tulis dan pelitup muka. 

“Ini adalah sumbangan ikhlas kami untuk mengukir senyuman dan memberi semangat baharu kepada anak-anak ini bagi memulakan tahun 2026,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menyentuh cabaran emosi yang dihadapi keluarga pesakit serta menzahirkan rasa kagum terhadap kekuatan ibu bapa dan penjaga dalam mengharungi ujian menjaga anak-anak yang menghidap kanser.

Pada masa yang sama, Awang Zamhari turut memuji peranan SCCS dalam menyediakan kemudahan rumah transit dan sokongan tadbir urus yang cekap, khususnya dalam membantu keluarga pesakit dari luar bandar.

“Pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga di sini menyuntik semangat kepada pihak kami untuk terus menyumbang, terutama dari segi sokongan moral. 

“Kami mendoakan agar ibu bapa terus diberi kekuatan dan anak-anak ini dikurniakan kesihatan yang baik,” tambahnya.

JTS Sarawak berharap jalinan kerjasama dengan SCCS dapat diteruskan dan tidak terhenti setakat ini, selain komited untuk melaksanakan lebih banyak program kebajikan seumpama itu pada masa hadapan demi kesejahteraan komuniti.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi permainan suai kenal bersama kanak-kanak dan penjaga, diikuti lawatan sekitar SCCS, jamuan makan tengah hari serta sesi penyerahan sumbangan “Landas Gives Back – Love In A Box” dan ramah mesra.

Turut hadir, Presiden SCCS Mary Kiu Ai Ling, Timbalan Pengarah Pengurusan Sr Rozlan Putit, Timbalan Pengarah Operasi TPr Irene Wee Siew Liang, mantan Timbalan Pengarah Operasi Surveyor Norlina Ra’ee, Setiausaha Kehormat SCCS Wilin Main, Bendahari Kehormat SCCS Marylene Placid, Ahli Jawatankuasa SCCS Dayang Juliana Abg Dalhan, Pengurus Acara dan Pemasaran SCCS Genevieve Tan serta Ketua Unit Perhubungan Awam JTS Daleton Nilie Nunong.

Untuk rekod, kempen “Love In A Box” yang digerakkan sejak November 2025 oleh Unit Perhubungan Awam JTS mendapat sambutan luar biasa daripada warga kerja JTS Ibu Pejabat, dengan pelbagai barangan keperluan harian, kebersihan, kesihatan dan persekolahan berjaya dikumpul. 

Antara sumbangan termasuk mainan lembut, selimut kanak-kanak dan alat dengar kepala bagi menceriakan emosi anak-anak.

Sebagai simbolik keikhlasan, sesi gotong-royong membalut hadiah turut diadakan pada Disember 2025 melibatkan kakitangan JTS sebagai tanda sokongan moral kepada penghuni SCCS.



image Polls
image Announcement