News

 

JTS Sarawak santuni anak-anak Sarawak sempena Tahun Baharu 2026

Posted on 11 Jan 2026
Source of News: TVS


KUCHING, 10 Jan: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menyantuni anak-anak pesakit kanser di Pusat Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) sempena sambutan Tahun Baharu 2026.

Program bertemakan kasih sayang dan kebersamaan itu bertujuan meraikan semangat juang “pejuang cilik” di pusat tersebut, sambil menyerahkan sumbangan hasil daripada kempen dalaman JTS, “Landas Gives Back – Love In A Box”.

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood dalam satu kenyataan berkata, kehadiran warga JTS bukan sekadar memenuhi jemputan rasmi, tetapi sebagai manifestasi keprihatinan jabatan terhadap anak-anak dan keluarga di SCCS.

“Melalui program ‘Love In A Box’, warga kerja JTS telah bersatu hati mengumpul, menyumbang dan membalut sendiri hadiah-hadiah seperti mainan, set keperluan sekolah, alat tulis, dan pelitup muka.

“Ini adalah sumbangan ikhlas kami untuk mengukir senyuman dan memberi semangat baharu kepada anak-anak ini bagi memulakan tahun 2026,” kata kenyataan itu, hari ini.

Program turut diisi dengan sesi permainan suai kenal, lawatan sekitar SCCS, jamuan makan, dan sesi penyerahan sumbangan kepada anak-anak serta ibu bapa.

Beliau turut menzahirkan kekaguman terhadap ibu bapa yang menjaga anak-anak pesakit kanser dan menekankan sokongan moral JTS akan diteruskan pada masa akan datang.

Kempen yang bermula November 2025, mendapat sambutan luar biasa daripada seluruh warga JTS, dengan sumbangan meliputi kelengkapan persekolahan, keperluan kebersihan, mainan lembut, selimut, dan fon kepala.- TVS



image Polls
image Announcement