KENANGAN…. Peserta dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merakam kenangan bersama pada Majlis Penerimaan Sijil Kecekapan Juruterbang Jauh – Asas (RCOC-B) di sini, hari ini.
KUCHING: Seramai 36 peserta dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerima Sijil Kecekapan Juruterbang Jauh – Asas (RCOC-B).
Sijil RCOC-B diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood; Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah; dan Pengarah Eksekutif Chemsain HRD, Dr. John Chan di Auditorium Chemsain, di sini, hari ini.
Datuk Awang Zamhari dalam satu kenyataan berkata, penggunaan teknologi dron kini menjadi keperluan penting dalam meningkatkan ketepatan, kecekapan serta keselamatan operasi jabatan.
“Integrasi teknologi dron merupakan langkah ke hadapan bagi jabatan. Ia meningkatkan ketepatan, menambah kecekapan, mengurangkan risiko dan memperluas keupayaan operasi.
“Kejayaan latihan ini menunjukkan kesediaan serta motivasi warga kerja kami untuk mengadaptasi teknologi sejajar transformasi digital Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ramzi menegaskan pembangunan keupayaan dron selari usaha DBKU memperkukuh operasi perbandaran pintar serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
“Biarlah pencapaian ini menjadi permulaan kepada kemajuan lebih besar, bukan sahaja untuk peserta tetapi DBKU secara keseluruhan.
“Bersama-sama kita memacu Kuching ke arah bandar yang bersih, indah, pintar, selamat dan lestari,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei atas kerjasama dalam bidang pemetaan dan teknologi dron.
Sehubungan itu, Dr. John Chan menegaskan komitmen Chemsain untuk terus menyokong agensi kerajaan melalui pembangunan kapasiti teknikal serta kerjasama termasuk potensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan teknologi dron.
Pada masa yang sama, beliau berkata program pensijilan tersebut memberikan peserta pengetahuan asas dan kemahiran praktikal untuk mengendalikan dron secara selamat serta mematuhi peraturan, selaras komitmen Jabatan Tanah dan Survei dan DBKU.
“Ini bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan melalui penyelesaian berasaskan teknologi termasuk pengumpulan data, perancangan operasi dan inisiatif bandar pintar,” katanya.
Chemsain turut menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa kompetensi dron dalam sektor kerajaan dan industri melalui program latihan khusus serta sokongan teknikal.
Majlis itu menandakan penutup latihan RCOC-B selama lima hari yang dijalankan Chemsain HRD secara berperingkat dari Ogos hingga November tahun ini.