News

 

Surat hak milik, pampasan pengiktirafan buat pemilik tanah bekerjasama ukur NCR

Posted on 05 Dec 2025
Source of News: Utusan Borneo


Anyi (empat kiri) menyampaikan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Len (empat kanan) dan Gira (tiga kiri) di Sibu, hari ini.

SIBU: Penyerahan warta, surat hak milik tanah serta cek pampasan tanah bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi pengiktirafan kepada pemilik tanah yang telah bekerjasama memastikan kejayaan pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah inisiatif baharu kerajaan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan perkara itu menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh yang hadir mewakilinya pada majlis penyerahan dokumen terbabit di Kompleks Islam Sibu, hari ini.

Awang Tengah berkata, kehadiran 231 penerima pada majlis itu membuktikan bahawa tanah bukan sekadar aset fizikal tetapi nadi kehidupan serta warisan turun-temurun bagi setiap keluarga.

Menurutnya, kawasan Lemangan/Bekakap, Bawang Assan dan Jalan Bawang Assan/Tanjung Manis di Sibu telah disukat dan diwartakan pada Jun 2025 melibatkan keluasan kira-kira 807 hektar (1,994 ekar).

"Sementara itu, kawasan Tebalong Batang Oya di Selangau seluas 1,042 hektar (2,576 ekar) turut disukat dan diwartakan pada bulan yang sama.

"Pada hari ini, seramai 27 tuai rumah dari kedua-dua kawasan berkenaan akan menerima warta tanah NCR masing-masing," ujarnya.

Bagi penyerahan surat hak milik Seksyen 18 kata Awang Tengah, kawasan Pasai Siong telah diwartakan di bawah Seksyen 6 pada 2013 dengan keluasan kira-kira 5,904 hektar (14,596 ekar), sebelum pengukuran individu diluluskan pada 2017.

"Kawasan Ngemah, Kanowit yang diwartakan pada 2017 dengan keluasan 10,047 hektar (24,828 ekar) juga telah diluluskan untuk pengukuran individu pada 2021," jelasnya.

Selain itu katanya, kawasan Nanga Dap dan Mapai di Kanowit yang diwartakan di bawah Seksyen 6 KTN pada 2023 melibatkan 5,283 hektar (13,054 ekar) turut melalui proses pengukuran individu pada tahun sama.

"Kawasan Nanga Tanyit, Selangau pula diwartakan pada 2016 dengan keluasan 30,189 hektar (74,596 ekar) dan pengukuran individu diluluskan pada 2017.

"Sebanyak 195 surat hak milik Seksyen 18 melibatkan keluasan sekitar 397.84 hektar (983 ekar) akan diserahkan kepada 131 penerima," katanya.

Awang Tengah turut memaklumkan bahawa majlis sama menyaksikan penyerahan cek pampasan tanah kepada pemilik yang terlibat dalam projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Teku-Pasai Siong ke Kemuyang, Sibu.

Menurutnya, projek rakyat yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu itu melibatkan pampasan berjumlah RM4,487,903 merangkumi 76 bidang tanah berkeluasan 28.75 hektar, terdiri daripada tiga lot Tanah Rizab Komunal Bumiputera, empat lot Tanah Hak Adat Bumiputera dan 69 bidang tanah berhak milik, membabitkan 170 penerima keseluruhan.

"Objektif utama pembinaan jalan ini adalah membuka laluan baharu dari Kemuyang ke Teku-Pasai Siong, sekali gus menyediakan alternatif perjalanan yang lebih singkat dan selesa kepada penduduk," ujarnya.

Awang Tengah menzahirkan penghargaan kepada semua pemilik tanah atas kerjasama penuh sepanjang proses pengambilan balik tanah dan berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat penduduk serta pengguna jalan pada masa akan datang.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira Sambang, ADUN Ngemah Anyi Jana, Penolong Pengarah Penilaian, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Alfian Bawi, Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Dato Jasni Jubli dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Chua Soh Kee.



image Polls
image Announcement