KUCHING: Penantian penduduk Lempaong Anyut di kawasan Paku, Betong untuk mengesahkan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bakal menjadi kenyataan selepas 2,110 hektar tanah milik mereka telah diluluskan untuk proses penyukatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, kelulusan tersebut melibatkan permohonan di bawah Seksyen 6 sebelum diteruskan kepada pemberi milikan individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Jabatan Tanah dan Survei telah memberi taklimat mengenai permohonan mereka di bawah Seksyen 6. Dengan sukacita kita umumkan ia telah diluluskan.
“Proses penyukatan akan bermula menggunakan Seksyen 6 dan kemudian diteruskan ke Seksyen 18,” katanya semasa menghadiri Taklimat Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Rumah Lempaong Anyut, Paku, Spaoh pada Ahad.
Menurut Jabatan Tanah dan Survei (JTS), taklimat libat urus tersebut turut memberi penerangan terperinci mengenai proses baharu penyukatan tanah NCR yang menekankan peralihan daripada Seksyen 6 ke Seksyen 18, sekali gus mempercepatkan pengeluaran hak milik individu kepada pemilik sah.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan projek perintis di Ulu Paku dan kini diperluas melibatkan tujuh rumah panjang di kawasan Anyut, iaitu Lempaong Anyut, Lingit, Engkerebai, Jitu, Nanam, Udau dan Sungai Rian.
Dalam sesi dialog bersama penduduk, para ketua kaum serta komuniti setempat turut diberi peluang mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan berkaitan tatacara baharu penyukatan tanah NCR.
Uggah menegaskan bahawa usaha itu membuktikan keikhlasan dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pemilik tanah adat.
“Kerajaan GPS sentiasa membantu tuan punya tanah NCR. Tanah adat yang belum ada ‘title’ akan diberi ‘title’. Inilah bukti kesungguhan kerajaan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk memastikan kerjasama erat dalam komuniti bagi mengelakkan pertikaian yang boleh melambatkan proses penyukatan dan penukaran status hak milik.
“Saya berharap penduduk dapat bekerjasama dan mengelakkan pertikaian supaya penyukatan dan proses penukaran tanah dapat dijalankan dengan licin dan lancar,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup, Setiausaha Politik Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai serta beberapa pegawai kanan peringkat bahagian dan daerah.