News

 

JTS PERKENAL SGeD20 & SGeDNet, MANTAPKAN PENGURUSAN DATA GEOSPATIAL NEGERI

Posted on 12 Nov 2025
Source of News: RTM Sarawak


KUCHING, 11 Nov - Jabatan Tanah dan Survei, JTS Sarawak akan melaksanakan datum rujukan baharu Sarawak iaitu Sarawak Geocentric Datum 2020, SGeD20.
Ini termasuk rangkaian stesen kawalan geodetik Sarawak Geodetic Reference Network, SGeDNet.
Pengarahnya, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pelaksanaan datum itu menandakan satu anjakan paradigma dalam bidang ukur dan pemetaan di Sarawak.
 
“Transformasi ini bukan sekadar meningkatkan ketepatan ukuran, tetapi turut memperkukuh kesiapsiagaan negeri dalam pelbagai aplikasi masa nyata termasuk pemantauan infrastruktur, pembangunan bandar pintar dan pengurusan bencana,” Jelasnya.
 
Ujarnya, pelaksanaan datum baharu ini, membolehkan Sarawak meninggalkan sistem rujukan tradisional dan memperkukuh keupayaan pengurusan data geospatial negeri agar lebih tepat, pantas dan bersepadu.
 
Beliau berkata demikian pada Program Dialog Awam, SGeDNet dan Pemodenan Kadaster Sarawak serta perasmian Datum Rujukan pengukuran baharu Sarawak atau Sarawak Geocentric Datum 2020 (SGeD20), bersamabrangkaian stesen kawalan, Sarawak Geodetic Reference Network (SGeDNet) di Kuching, hari ini.
 
Menurut Datu Awang Zamhari lagi, langkah tersebut sebahagian daripada Inisiatif Pemodenan Kadaster Sarawak, yang menyokong aspirasi Revolusi Industri 4.0 dan Sarawak Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030.
 
Melalui pembangunan rangkaian Sarawak Geodetic Reference Network (SGeDNet), yang kini merangkumi 38 stesen aktif dan pasif di seluruh negeri, Sarawak kini memiliki infrastruktur ukur moden yang menjadi asas kepada sistem pengurusan data geospatial berintegriti tinggi.
Rangkaian ini menyokong pelaksanaan kadaster berketepatan tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemetaan digital serta pelbagai aplikasi geospatial berasaskan teknologi terkini.
 
Datu Awang Zamhari menegaskan, inisiatif ini memperkukuh peranan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sebagai penjaga data geospatial negeri, sekali gus memposisikan Sarawak setanding dengan negara maju dalam penggunaan sistem kadaster berasaskan datum geosentrik.
 
Langkah ini seiring dengan Sarawak Digital Economy Blueprint (SDEB) 2030, yang menjadikan data geospatial berketepatan tinggi sebagai teras utama dalam transformasi ekonomi digital dan pembangunan negeri pintar.


image Polls
image Announcement