KUCHING: AZAM KW Dragon dinobatkan selaku pasukan juara keseluruhan temasya Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2025 yang bermula 24 dan berakhir pada semalam (26 Oktober).
Kejuaraan itu menjadi detik manis buat pasukan kendalian Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood merana ia penampilan pertama mereka dalam kejohanan antarabangsa.
Kejayaan meraih dua gelaran juara, masing-masing pada kategori DB12 dan DB20 Terbuka Premier menjadi kekuatan pasukan tersebut merangkul juara keseluruhan temasya terbabit.
Pasukan A AZAM KW Dragon mendahului gelaran juara pada Grand Final DB12 Terbuka Premier selepas mencatat masa 1:15.426 sebelum kejuaraan berganda dirangkul pasukan B dalam kategori minor final dengan catatan masa 1:17.007.
Sementara dalam kategori DB20 Terbuka Premier, pasukan A sekali lagi menunjukkan kehebatan selepas menggungguli tempat pertama dengan catatan masa 1:11.114.
Manakala pasukan B merangkul naib juara dengan catatan masa 1:11.216.
Jelas Awang Zamhari, kejayaan itu merupakan hasil komitmen dan disiplin para pekayuh dalam memastikan latihan secara konsisten dan berterusan.
“Ini penampilan sulung pasukan baharu dalam kejobanan ini, kami tidak menyangka mampu melangkah sejauh ini,”katanya.
Tambahnya, seramai 48 pekayuh telah didaftarkan bagi mengemudi pasukan, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Perahu Naga Antarabangsa.
Tegasnya, kejuaraan itu diharap mampu menjadi pemangkin semangat pasukan untuk terus melakar kemenangan menjelang Regata Sarawak 2025 yang akan bermula esok hari di lokasi sama.