KUCHING, 23 Oktober 2025 – Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) terus memperkukuh kesejahteraan mental serta psikologi dalam kalangan penjawat awam menerusi penganjuran Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Oktober di Hotel Imperial Kuching.

Program tahunan yang kini memasuki tahun kelima penganjurannya itu menghimpunkan 300 peserta dari seluruh Sarawak, termasuk dari Ibu Pejabat serta pejabat bahagian JTS di 12 bahagian.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, menegaskan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam mendepani cabaran era digital, termasuk isu permainan dalam talian, buli siber dan tingkah laku berisiko dalam kalangan generasi muda.
“JTS telah mengambil inisiatif menjemput pakar dari Jabatan Premier Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pakar motivasi dan keibubapaan bagi meningkatkan kesedaran serta celik psikologi warga jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah, Sr Rozlan Putit, semasa Majlis Perasmian Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025, di sini, pada Khamis.
Datu Awang Zamhari turut menegaskan bahawa kesejahteraan mental bukan lagi isu sampingan, sebaliknya merupakan prasyarat penting bagi melahirkan pemimpin masa depan, agen perubahan serta penjawat awam yang berdaya tahan emosi.
“Perkhidmatan psikologi dan kaunseling akan terus diperkasakan agar stigma terhadap perkhidmatan ini dapat dihapuskan,” ujarnya.
Justeru, beliau menzahirkan komitmen berterusan JTS untuk menyokong pelaksanaan inisiatif psikologi dan kaunseling dalaman bagi memupuk budaya kerja yang harmoni, empati dan produktif, di samping memperkukuh daya tahan mental penjawat awam.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk melahirkan Sarawak Civil Service (SCS) berkelas antarabangsa dan berdaya maju menjelang 2030.