News

 

Kesejahteraan mental prasyarat budaya kerja berprestasi tinggi

Posted on 24 Oct 2025
Source of News: Suara Sarawak


KUCHING: Kesejahteraan mental bukan lagi isu sampingan, sebaliknya prasyarat penting dalam membentuk budaya kerja berprestasi tinggi serta penjawat awam yang berdaya tahan emosi.

Menurut Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood, kesejahteraan mental dan psikologi perlu diangkat sebagai keutamaan dalam perkhidmatan awam memandangkan cabaran kerja dan kehidupan moden semakin kompleks.

“Kesejahteraan mental bukan hanya tentang ketenangan diri, tetapi menjadi asas penting bagi melahirkan pemimpin masa depan, agen perubahan serta penjawat awam yang mampu menyesuaikan diri dengan tekanan dan perubahan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah JTS, Sr Rozlan Haji Putit, dalam majlis Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025 yang diadakan baru-baru ini di Hotel Imperial Kuching.

Menurut beliau, JTS mengambil langkah proaktif memperkukuh kesejahteraan warga kerja dengan melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang tahun 2025, antaranya Psychological First Aid (PFA): Keselamatan Psikologi di Tempat Kerja dan Explorace Budget Blitz: Your Money, Your Way yang telah memberi impak positif kepada prestasi serta keseimbangan emosi kakitangan.

Awang Zamhari turut menekankan peranan ibu bapa dalam mendepani cabaran era digital yang mempengaruhi tingkah laku serta kesejahteraan mental generasi muda.

“Pengaruh permainan dalam talian, buli siber dan tingkah laku berisiko perlu ditangani secara bijak. Justeru, JTS menjemput pakar daripada Jabatan Premier Sarawak, Polis Diraja Malaysia serta pakar motivasi dan keibubapaan bagi meningkatkan kesedaran psikologi dalam kalangan warga jabatan,” jelasnya.

Beliau turut memetik data daripada Hospital Umum Sarawak yang menunjukkan peningkatan lima kali ganda kes berkaitan kesihatan mental dalam tempoh tiga tahun, sebagaimana dinyatakan oleh Perunding Pakar Neuropsikiatri, Dr Chhoa Keng Hong.

Situasi itu, katanya, selaras dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes bunuh diri, tekanan emosi dan keresahan mental, termasuk dalam kalangan generasi muda.

“Ini menunjukkan isu kesejahteraan mental semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, termasuk perkhidmatan awam,” tegasnya.

Beliau menyeru agar stigma terhadap perkhidmatan psikologi dan kaunseling dihapuskan supaya lebih ramai pegawai berani mendapatkan bantuan profesional apabila berdepan tekanan atau cabaran emosi.

“JTS akan terus memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling agar warga kerja dapat berfungsi secara optimum dalam suasana kerja yang harmoni, empati dan produktif,” katanya lagi.

Program tahunan yang memasuki edisi kelima itu bertemakan “Integrating Wellbeing into High Performance Culture”, selaras dengan tema Perkhidmatan Awam Sarawak “Thriving in Action: Integrating Performance and Sustainability Wellbeing in SCS” serta tema kebangsaan “Kaunseling Era Digital: Santuni Emosi, Sejahtera Insani.”

Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan mental penjawat awam perlu dijadikan agenda berterusan bagi menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak melahirkan Sarawak Civil Service (SCS) yang berkelas antarabangsa dan berdaya maju menjelang 2030.



image Polls
image Announcement