KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) terus memperkukuh kesejahteraan mental dan psikologi dalam kalangan penjawat awam melalui penganjuran Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025, yang berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Oktober di Hotel Imperial Kuching.
Program tahunan yang kini memasuki tahun kelima penganjurannya itu menghimpunkan seramai 300 peserta dari seluruh Sarawak termasuk Ibu Pejabat serta pejabat bahagian JTS di 12 bahagian.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam menghadapi cabaran era digital, termasuk isu permainan dalam talian, buli siber dan tingkah laku berisiko.
“JTS telah mengambil inisiatif menjemput pakar dari Jabatan Premier Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pakar motivasi dan keibubapaan bagi meningkatkan kesedaran serta celik psikologi warga jabatan.,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah, Sr Rozlan Putit dalam Majlis Perasmian Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025 di sini pada Khamis.
Datu Awang Zamhari turut menegaskan bahawa kesejahteraan mental bukan lagi isu sampingan, sebaliknya merupakan prasyarat penting bagi melahirkan pemimpin masa depan, agen perubahan dan penjawat awam yang berdaya tahan emosi.
Oleh itu katanya, perkhidmatan psikologi dan kaunseling akan terus diperkasakan agar stigma terhadap perkhidmatan ini dapat dihapuskan.
Justeru, Datu Awang Zamhari terus komited memberikan sokongan terhadap perkhidmatan psikologi dan kaunseling secara berterusan bagi memupuk budaya kerja yang harmoni, empati dan produktif, di samping meningkatkan daya tahan mental penjawat awam agar seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk melahirkan Sarawak Civil Service (SCS) yang berkelas antarabangsa dan berdaya maju menjelang tahun 2030. -EDISI UKAS