KUCHING - Seramai 300 kakitangan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) dari seluruh negeri menyertai Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan JTS 2025 yang berlangsung selama dua hari yang berakhir hari ini.
Program tahunan itu dianjurkan sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dan perkhidmatan awam untuk menggabungkan kesejahteraan dengan budaya kerja berprestasi tinggi.
Pengarahnya, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood menegaskan bahawa kesejahteraan mental kini menjadi prasyarat utama dalam melahirkan penjawat awam yang berdaya tahan serta produktif.
Beliau berkata berdasarkan data Hospital Umum Sarawak menerusi Perunding Pakar Neuropsikiatri Dr Chhoa Keng Hong menjelaskan, berlaku peningkatan mendadak isu kesihatan mental di Sarawak dengan kadar peningkatan lima kali ganda dalam tempoh tiga tahun.
Selain itu, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes bunuh diri, tekanan emosi dan keresahan mental turut menunjukkan trend membimbangkan, termasuk dalam kalangan generasi muda.
Datu Awang menegaskan bahawa kesejahteraan mental bukan lagi isu sampingan, sebaliknya prasyarat penting dalam melahirkan pemimpin masa depan, agen perubahan dan penjawat awam yang berdaya tahan emosi.
Sehubungan itu, beliau menekankan agar perkhidmatan psikologi dan kaunseling terus diperkasakan bagi mengikis stigma terhadap perkhidmatan tersebut.
Beliau turut berharap penganjuran Hari Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan 2025 bukan sahaja memberi manfaat kepada warga JTS, tetapi juga membawa limpahan positif kepada keluarga serta komuniti secara keseluruhan.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah JTS, Rozlan Putit.