News

 

Fadillah terima anugerah Datuk Amar Bintang Kenyalang

Posted on 13 Oct 2025
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof mendahului senarai 42 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Sarawak sempena Hari Jadi Ke-79 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu merupakan satu-satunya individu yang dianugerahkan darjah kebesaran Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar.

Penganugerahan pingat itu disampaikan oleh Tun Wan Junaidi pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak, di sini, sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti tidak ternilai beliau terhadap pembangunan negeri dan negara.
  
Istiadat itu turut disaksikan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan Kabinet Negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, mantan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang juga bekas Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Joseph Salang Gandum dan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, Dato Sri Richard Wee Liang Huat menerima anugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Dato Sri. 
 
Dalam pada itu, seramai lima pemimpin negeri dianugerahkan Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Harry Jinep; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi dan mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datuk Ik Pahon Joyik.
 
Manakala, seramai sembilan individu menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu, iaitu Adana Jed, Dr Cassidy Morris, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Awang Zamhari Awang Mahmood, Richard Michael Abunawas, Sharifah Rohana Wan Alwi, Huong Siu Hung, Zainal Abidin Abdullah dan Joseph Blandoi.

Selain itu, seramai 22 penerima Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Dato.

Mereka ialah Dr. Punitha Silvarajoo, DCP Mohd Taufik Toh Abdullah, Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman, Su Tiang Joo, Fenny Nuli, Jasni Jubli, Hasbilah Mohamad Salleh, Razaili Gapor, Yusuf Abdul Wahab, Tapah Ata, Dr. Wan Ali Tuanku Madhi, Ruslan Abdul Ghani, Augustine Wong Chung Ho, James Ung Sing Kwong, Ngui Ing Ing, Datin Sri Angelina Celestine Ujang, Miro Simuh, Rolland Duat Jubin, Ahmad Hazlan Ismawi, Dr. Salihin Abang, Datin Amar Baduyah Bujang dan Zolkipli Mohamad Aton.
 
Di samping itu, penghargaan turut disampaikan secara anumerta kepada mendiang James Alexander Ritchie, Almarhum Shahren Ahmad Zaidi Adruce dan Almarhum Mohd Hasbie Sulaiman dengan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) (Posthumous)membawa gelaran Dato.

Penganugerahan ini diberikan selepas individu meninggal dunia bagi mengiktiraf jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka.
 
Secara keseluruhan pada tahun ini seramai 1,372 individu dianugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Jadi Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Ini termasuk tujuh individu dianugerahkan Johan Bintang Kenyalang (JBK); 18 individu menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), seorang dianugerahkan Pingat Perwira Negeri (PPN) (Emas); seorang menerima Pintat Perwira Negeri (PPN) (Emas) (Posthumous); tiga diberikan Pingat Perwira Negeri (PPN) (Perak) dan 10 penerima Pingat Perwira Negeri (PPN) (Gangsa).
 
Selain itu, seramai 13 diberikan anugerah Pegawai Bintang Sarawak (PBS), sebanyak 134 individu menerima Pegawai Bintang Kenyalang (PBK); 159 individu menerima Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB); 119 individu dianugerahkan Ahli Bintang Sarawak (ABS); 157 diberikan Ahli Bintang Kenyalang (ABK); 345 individu mendapat Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT), seorang diberikan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) (Posthumous) dan 362 individu diberikan Bentara Bintang Sarawak (BBS).



image Polls
image Announcement