News

 

JTS berjaya laksana program "Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan" di Sibu

Posted on 06 Oct 2025
Source of News: Utusan Borneo


Awang Zamhari (tengah) merakamkan kenangan bersama peserta program "Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan" di Sibu pada Jumaat.

SIBU: Bermatlamat menyemai visi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) “A World Class Civil Service" menjelang 2030, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak tampil komited berjaya melaksanakan program "Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan" buat kali kedua, di RH Hotel Sibu, pada 2 hingga 3 Oktober lalu.

Menurut Unit Perhubungan Awam, JTS Sarawak program yang disasarkan khusus untuk kumpulan pelaksana (Gred 1) ini, adalah inisiatif berterusan JTS bagi meningkatkan kecekapan dan profesionalisme warga kerja disamping memperkasa kakitangan JTS dalam pembangunan modal insan yang menjadi teras kepada kecemerlangan perkhidmatan.

"Siri pertama telah diadakan di Kuching pada 10 dan 11 Julai yang lalu. Program selama dua hari ini menghimpunkan seramai 290 orang kakitangan JTS dari Ibu Pejabat dan pejabat bahagian Kuching, Miri, Sibu, Betong, Kapit, Serian, Bintulu, Samarahan, dan Limbang," katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood, dalam amanat beliau, menegaskan bahawa kumpulan pelaksana merupakan tulang belakang jabatan yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Awang Zamhari turut menekankan tiga prinsip utama yang perlu dihayati oleh setiap penjawat awam iaitu Disiplin Masa, Integriti dan Kualiti Kerja.

Beliau turut menggalakkan warga kumpulan pelaksana untuk berani menyahut cabaran kenaikan pangkat, menyambung pengajian, menyertai inovasi jabatan dan tampil sebagai pemimpin di peringkat masing-masing.

Beliau juga mahu lihat lebih ramai wajah kumpulan pelaksana naik ke pentas menerima anugerah, berdiri setaraf dengan warga pengurusan dan profesional.

Pada kali ini, program menampilkan tiga penceramah utama yang berkongsi kepakaran dalam aspek pengurusan diri, keselamatan digital, dan budaya kerja iaitu Telemachus Lo, dari Principal Consultant SMT Learning Solution, menyampaikan slot pada hari pertama memfokuskan kepada 'Menghadapi Cabaran Kerja Masa Kini' bagi penjawat awam.

Beliau menekankan amalan nilai kerja yang baik, produktiviti diri dengan kecerdikan emosi, serta kepentingan disiplin dalam membudayakan mutu kerja berkualiti.

Sementara itu, Duta Anti-Scammer, ASP Bersara Rahmat Fitri Abdullah, berkongsi pandangan kritikal berhubung cabaran dunia digital, terutamanya isu-isu 'Scammer' yang semakin berleluasa.

Perkongsian beliau merangkumi langkah-langkah pencegahan dan strategi terbaik untuk mendepani ancaman ini.

Hafiz Mustapha melengkapkan barisan penceramah dengan perkongsian bertajuk 'Sosmed, Emosi Dan AI: Survival Kit Awam Di Era Digital'.

Sesi ini bertujuan melengkapkan kakitangan dengan kemahiran yang diperlukan untuk menavigasi ruang siber secara berhemah.

Objektif utama program ini adalah untuk memperkasa Disiplin dan Mutu Kerja: Membentuk amalan nilai kerja yang lebih baik dan menggalakkan budaya kerja berkualiti dalam kalangan penjawat awam.

Ia juga meningkatkan Kesejahteraan Diri: Membekalkan kemahiran mengurus kecerdasan emosi dan meningkatkan produktiviti diri dalam menghadapi cabaran kerja masa kini.

Disamping itu, ia memperkukuh Keselamatan Digital: Melengkapkan kakitangan dengan ilmu dan strategi pencegahan mendepani ancaman siber dan jenayah scammer.

Melalui pendedahan kepada ilmu dan kemahiran terkini, termasuk cara menangani cabaran keselamatan siber dan meningkatkan kecerdikan emosi, Jabatan yakin kakitangan JTS akan lebih berdaya saing, berintegriti, dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Sarawak.

JTS merancang untuk meneruskan siri program latihan yang berimpak tinggi seperti ini pada masa hadapan bagi mengekalkan momentum kecemerlangan perkhidmatan di seluruh Sarawak.


 


image Polls
image Announcement