News

 

JTS Mukah salurkan dana CSR RM30,000 kepada Kampung Sebako dan SK Sebako

Posted on 22 Sep 2025
Source of News: Utusan Borneo


Abdullah (duduk, lima kiri) merakamkan kenangan bersama penerima sumbangan dana CSR daripada JTS Mukah di Semop pada Jumaat. - Gambar UKAS

SIBU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Mukah memperlihatkan komitmen sosialnya apabila menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Kampung Sebako dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako di Semop dekat sini.

Daripada jumlah itu, RM10,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sebako, Daro, manakala RM20,000 lagi diperuntukkan kepada SK Sebako sebagai usaha memperkukuh kemudahan kampung dan menyokong pembangunan pendidikan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, inisiatif itu mencerminkan peranan aktif JTS bukan sahaja sebagai entiti kerajaan yang melaksanakan tugas rasmi, tetapi juga sebagai rakan pembangunan masyarakat.

"Dana ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya sama ada untuk menambah baik infrastruktur kampung mahupun mempertingkat mutu pembelajaran anak-anak kita yang bakal menerajui masa depan," jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan dana tersebut pada Jumaat.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut menekankan kejayaan pembangunan bukan semata-mata bergantung kepada kerajaan, tetapi memerlukan sinergi antara pemimpin tempatan, institusi pendidikan, ibu bapa dan seluruh komuniti.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JTS Mukah atas sumbangan dan dedikasi mereka dalam membantu komuniti luar bandar, khususnya di kawasan Daro.

"Diharap bantuan ini bukan sekadar kelegaan jangka pendek, malah mampu memberi impak positif berpanjangan kepada penduduk kampung dan warga sekolah," tambahnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah Daro Ayub Hassim.


 


image Polls
image Announcement