News

 

Len sampaikan 40 warta rizab komunal Bumiputera, 175 surat hak milik tanah

Posted on 22 Sep 2025
Source of News: Utusan Borneo


KAPIT: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh hari ini merasmikan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik Tanah NCR Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Daerah Song.

Majlis anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) itu yang berlangsung di Dewan Balai Raya Song, melibatkan penyerahan 40 warta rizab komunal Bumiputera kepada rumah panjang di tiga kawasan iaitu Beguang, Katibas Hilir dan Embuau/Lajan dengan keluasan tanah 22,638 hektar.

Beliau juga menyerahkan 175 surat hak milik tanah kepada 126 penerima yang merupakan pemilik tanah NCR dari kawasan Sipan/Sesawa/Teluk Jambu, Song dan kawasan Sungai Katibas-Nanga Mukeh/Nanga Entuat/Nanga Banin/Nanga Makut, Katibas Tengah.

Len menjelaskan, JTS Kapit dengan kerjasama pemilik tanah terlebih dahulu menjalankan kerja-kerja pengukuran perimeter tanah di bawah Seksyen 6 untuk mengenal pasti sempadan, diikuti tinjauan hak milik tanah individu peringkat kedua di bawah Seksyen 18 KTN.

"Ini adalah proses yang berterusan sehingga semua tanah NCR di negeri ini diukur dan dikeluarkan dengan hak milik tanah. Untuk mempercepatkan proses, JTS Sarawak telah mengambil 361 juruukur tambahan.

"Sejak 2010, inisiatif baharu untuk mengukur tanah NCR, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah dana untuk tujuan ini," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai itu memberitahu, isu tanah amat dekat di hati semua dan kerajaan memandang serius dengan memperuntukkan dana untuk membantu pemilik mengukur tanah NCR mereka.

Len (enam kiri) menyerahkan surat hak milik tanah kepada Ayong Andam sambil diperhatikan Lidam (lima kiri) serta yang lain.

Namun katanya, jika terdapat sebarang pertikaian dalam kalangan pihak yang menuntut mengenai sempadan atau pemilikan, mereka mesti menyelesaikannya sebelum JTS menjalankan kerja-kerja pengukuran.

"Untuk memastikan proses berjalan lancar, kerajaan memerlukan sokongan penuh daripada semua pemilik tanah," jelasnya.

Len turut menjelaskan, surat hak milik tanah ialah sijil rasmi pemilikan tanah ke atas sebidang tanah dan dengan surat hak milik di tangan, tidak ada pihak yang boleh menceroboh tanah tersebut.

"Tanah adalah aset paling berharga yang diwarisi daripada nenek moyang kita. Nasihat saya, jangan jual tanah anda. Jangan jual untuk keuntungan cepat," ujar beliau.

Hadir sama ialah ADUN Katibas Lidam Assan, Penguasa JTS Kapit Sagu Unting, Penolong Pengarah JTS Sarawak Mohd Razali Arshad, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Temenggung Jamit Untam, Temenggung Toh Tze Hua, Pemanca Lim Eng Hock serta yang lain.


 


image Polls
image Announcement