SIMANGGANG: Pasukan Landas Cahaya Helang Tasik dinobat sebagai ‘Raja Sungai’ Benak Batang Lupar semasa Pesta Benak 2025 di Tebingan Sri Aman, hari ini.
Perahu milik Awang Zamhari Awang Mahmood itu mengungguli saingan akhir acara bidar 30 pekayuh.
Kayuhan bertenaga pasukan Landas Cahaya Helang Tasik menggunakan plat bernombor 18 itu menjadi tumpuan sekitar 3,000 pengunjung yang hadir mendatangkan hasil dengan mencatatkan masa 6.58 minit.
Landas Cahaya Helang Tasik berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 berserta piala juara dan piala iringan.
Tempat kedua pula, pasukan Todak Berjaya perahu milik Kasdi Pandi mencatatkan masa 7:12 minit terpaksa berhempas pulas untuk merebut kedudukan tersebut apabila dicabar sengit oleh pasukan King Paddle G.T perahu milik Kamis Hanis yang mencatat masa 7:13 minit untuk berada di tangga ketiga.
Pasukan Burung Garuda perahu milik Bujang Simanggang berada ditempat keempat yang mencatatkan masa 7:14 minit dan pasukan Mahkota Dewa Gedong perahu milik Kamis Hanis mencatatkan masa 7:15 berada dikedudukan kelima.
Pasukan Todak Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala iringan, manakala pasukan King Paddle G.T membawa pulang RM5,000 serta piala, manakala pasukan Burung Garuda membawa pulang RM3,000 dan pasukan Mahkota Dewa Gedong membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Sebanyak 22 pasukan telah berentap merebut gelaran ‘Raja Sungai’ dalam Regata Benak Batang Lupar sempena Pesta Benak 2025 Edisi ke-22 yang bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.