News

 

Penganjuran Pesta Benak Edisi Ke-22 Cemerlang, Hasil Kerjasama Semua Pihak

Posted on 21 Sep 2025
Source of News: UKAS Sarawak

SRI AMAN: Penganjuran Pesta Benak Edisi Ke-22 kali ini berakhir dengan cemerlang dan jayanya, hasil kerjasama semua pihak yang menjalankan peranan mereka masing-masing.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan, ketua masyarakat, ahli majlis dan persatuan jelas menunjukkan semangat perpaduan berbilang kaum yang harus diperkukuhkan.

Katanya, penglibatan dan sokongan pemimpin termasuklah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta rakan strategik telah memastikan penganjuran Pesta Benak kali ini antara siri yang terbaik.

“Kesimpulannya, Pesta Benak Sri Aman 2025 telah berjaya dianjurkan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Kejayaan ini sekali gus mengangkat imej Bandar Simanggang sebagai salah satu destinasi pelancongan unggul dan lokasi acara ikonik di Sarawak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dalam majlis penangguhan, di sini pada Ahad.

Hadir menyempurnakan majlis penangguhan tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Di kesempatan itu, Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Pesta Benak Edisi Ke-22 serta rakan-rakan strategik yang lain atas usaha sama mereka memastikan kelancaran semua pengisian program sempena Pesta Benak tahun ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS


image Polls
image Announcement