SIMANGGANG: Pasukan Landas Cahaya Helang Tasik, perahu milik Awang Zamhari Awang Mahmood, dinobatkan sebagai ‘Raja Sungai’ Benak Batang Lupar selepas menjuarai acara bidar 30 pekayuh dalam Regata Benak Batang Lupar sempena Pesta Benak 2025.
Perlumbaan akhir yang berlangsung sengit di Tebingan Sri Aman menyaksikan pasukan berkenaan, dengan plat nombor 18, mendahului saingan sejak dari awal perlumbaan. Kayuhan bertenaga mereka menarik perhatian lebih 3,000 penonton dan membuahkan kemenangan dengan catatan masa 6.58 minit.
Kemenangan itu melayakkan pasukan Landas Cahaya Helang Tasik membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000, bersama piala juara dan piala iringan.
Tempat kedua dimenangi pasukan Todak Berjaya, perahu milik Kasdi Pandi, dengan catatan masa 7.12 minit. Mereka berdepan saingan sengit daripada pasukan King Paddle G.T, milik Kamis Hanis, yang mencatat masa 7.13 minit dan menduduki tempat ketiga.
Pasukan Burung Garuda, milik Bujang Simanggang, berada di tempat keempat dengan catatan 7.14 minit, diikuti pasukan Mahkota Dewa Gedong, juga milik Kamis Hanis, yang menamatkan perlumbaan dengan masa 7.15 minit dan berada di tempat kelima.
Todak Berjaya menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala iringan, manakala King Paddle G.T membawa pulang RM5,000. Pasukan Burung Garuda menerima RM3,000 dan Mahkota Dewa Gedong pula meraih hadiah wang tunai RM2,000.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Sebanyak 22 pasukan telah berentap merebut gelaran ‘Raja Sungai’ dalam Regata Benak Batang Lupar sempena Pesta Benak 2025 Edisi ke-22 yang bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.
Turut hadir menyaksikan acara ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis serta tetamu kenamaan yang lain.
Oleh Adi Safarman