News

 

1,004 anak pokok ditanam di Hutan Simpan Sabal

Posted on 17 Sep 2025
Source of News: Utusan Borneo


Para peserta menanam pelbagai pokok bernilai tinggi di Hutan Simpan Sabal, Simunjan semalam.

SIMUNJAN: Sebanyak 1,004 anak pokok asli bernilai tinggi seperti belian, selangan dan meranti telah ditanam di Hutan Simpan Sabal, Simunjan semalam.

Projek melibatkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS), ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Stampin, ahli Institut Perancang Malaysia (MIP) serta masyarakat setempat.

Menurut kenyataan akhbar Jabatan Hutan Sarawak, inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama agensi kerajaan, organisasi masyarakat dan orang ramai dalam memulihara warisan hutan Sarawak untuk generasi akan datang.

"Program ini lebih daripada sekadar menanam pokok terutama yang bernilai tinggi sebaliknya satu komitmen berterusan terhadap penjagaan alam sekitar dan kelestarian flora dan fauna di negeri ini.

"Ia juga satu tindakan kolektif secara bersama masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan serta individu dalam menjaga masa depan planet ini," Menurut kenyataan itu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Hutan (Pemuliharaan dan Pembangunan Hutan) Happysupina Sait, Penolong Pengarah (Perancangan) JTS Irene Wee, Ketua Bahagian Pemulihan dan Hutan Industri Zarina Shebli dan Pengerusi PBSMM Cawangan Stampin Chiew Kim Soon.



image Polls
image Announcement