Alfian (tengah) bersama tetamu dan penaja bergambar selepas sidang media kejohanan yang diadakan di Plaza Merdeka petang ini.
KUCHING: Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong dan Piala LANDAS PSPBK 2025 menawarkan hadiah wang tunai RM6,000 kepada johan pertandingan bagi edisi ke-17 kali ini.
Kejohanan yang ditakrifkan sebagai terbesar dalam kalendar sukan petanque di Sarawak itu akan diadakan di Pusat Petanque Sarawak pada 6 dan 7 September ini dan terbuka kepada semua penggiat dan pemain petanque seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia selain bintang tempatan Sarawak.
Penyelaras Kejohanan Alfian Bawi pada sidang media yang diadakan di Sarawak Plaza petang ini berkata, setakat ini kejohanan anjuran bersama Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) bersama Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan LEA Centre itu telah menerima sejumlah 100 penyertaan termasuk wakil dari Indonesia dan Thailand.
"Pasukan terdiri daripada Beregu Terbuka dan 55 pasukan bagi Beregu Wanita yang telah mengesahkan penyertaan mereka...yang mana kita turut menerima penyertaan dari Sabah, Perak, Pahang dan Terengganu.
"Di Sarawak pula, antara yang mengambil bahagian termasuk bahagian Kuching, Sri Aman, Limbang, Samarahan, Mukah dan Betong," katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Persatuan Sukan Petanque Sarawak Dato Wan Abdillah Edruce, Pengerusi Kelab Sukan dan Sosial LANDAS Serian Abdul Khalil Amit, Pengerusi LANDAS Samarahan Mohammad Zunica Mohamad Sapiee, Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA Saiful Bahari Amra Ramly dan Pengarah Urusan Lea Sport Centre Alice Kho dan Raymond Sim Hee Pang.
Katanya, pasukan lain ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Jabatan Kesihatan, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelab Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching, LANDAS Mukah, Generasi Petanque Vaie (GP Vaie), Kelab Petanque Saratok (KePS), Dickson Petanque Club (DIPEC) dan Kelab Petanque Taman Mat Salleh (TMS).
"Acara yang dipertandingkan ialah Beregu Terbuka dan Beregu Wanita dengan yuran penyertaan bagi Beregu Terbuka dan Beregu Wanita masing-masing RM120 dan RM100 sepasukan.
"Bagi Piala Utama, pasukan akan bermain dalam pusingan 1 dan 2 secara dua kali kalah mati dengan pusingan seterusnya kalah mati.
"Sementara bagi Piala Sumbangsih, pusingan awal hingga akhir akan diadakan secara kalah mati dengan pasukan yang tersingkir di pusingan 1 hingga 3 layak secara automatik bermain untuk Piala Sumbangsih," ujarnya dan menambah peraturan pertandingan mengikut standard FIPJP dan pihak penganjur.
Objektif pertandingan antara lain sebagai medan pembangunan dan pemantapan serta kemajuan sukan petanque di Sarawak serta untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini.
"Penganjur juga berharap kejohanan cukup berprestij ini dapat mempromosi dan mempopularkan sukan petanque di negeri ini serta mampu mengeratkan silaturahim sesama penggiat sukan petanque di Malaysia dan jemputan antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, johan untuk Beregu Terbuka akan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, piala pusingan dan piala iringan.
Sementara naib johan dan tempat ketiga kategori sama menerima RM3,000 dan RM1,500 berserta piala iringan.
Manakala bagi Beregu Wanita johan, naib johan dan tempat ketiga akan menerima wang tunai RM2,500, RM1,500 dan RM800 berserta piala iringan untuk tiga pemenang teratas.
Bagi Piala Sumbangsih pula, johan akan menerima hadiah wang tunai RM400 sambil naib johan dan tempat ketiga RM300 dan RM200.
"Justeru jawatankuasa pengelola kejohanan merakamkan penghargaan kepada Lea Sport Centre yang sentiasa komited menjadi penaja utama Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong (Siri ke-17) dan Piala LANDAS PSPBK 2025.
"Kami berharap agar lebih banyak penyertaan dalam kejohanan yang akan ditutup esok (hari ini) sebelum 12 tengah hari dan menyeru semua penggiat sukan petanque dan penduduk di sekitar Kuching hadir menyaksikan kejohanan ini," katanya.