Bakal menjadi rebutan... Alfian Bawi (tengah) bersama yang lain mempamerkan hadiah selepas sidang media tersebut.
KUCHING: Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong (Siri Ke-17) dan Piala Landas PSPBK 2025 kembali menemui peminatnya.
Acara berprestij anjuran Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) dengan kerjasama Kelab Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta Lea Sports Centre (LSC) itu akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad (6 & 7 September) ini bertempat di Pusat Petanque Sarawak, Santubong.
Penyelaras Kejohanan, Haji Alfian Bawi menegaskan kejohanan dua hari itu menghimpunkan 155 pasukan yang mencakupi 100 pasukan yang akan berentap dalam kategori beregu terbuka dan 55 pasukan untuk kategori beregu wanita.
“Penyertaan pada kali ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Pasukan yang terlibat mewakili pelbagai kelab, persatuan, dan beberapa bahagian seperti Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman dan Limbang.
“Turut disertai beberapa negeri seperti Sabah, Perak, Pahang dan Terengganu termasuk pasukan dua negara tetangga iaitu Indonesia dan Thailand,” ujar Alfian.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ruang legar LSC, Sarawak Plaza sebentar tadi.
Katanya, hadiah menarik menanti kelompok pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu wang tunai, piala dan pingat.