News

 

Legend of Light juarai Kuching Street Parade 2025

Posted on 17 Aug 2025
Source of News: Suara Sarawak
KUCHING: Impian Legend of Light – The Glorious 40s untuk merangkul gelaran juara menjadi kenyataan selepas dinobatkan sebagai johan dalam kategori terbuka, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) pada Kuching Street Parade 2025 yang berlangsung malam tadi.

Penyertaan pertama dengan kekuatan 40 itu juga melibatkan gabungan veteran bekas pelakon, pengarah dan tenaga produksi kreatif Sarawak serta kanak-kanak sekali gus berjaya memukau juri dan penonton.

Sehubungan itu, Kuching Street Parade 2025 bertemakan Parade of Lights bermula di Pusat Komersial Travillion pada sebelah petang dan berakhir dengan meriah di Padang Merdeka di sini, sebagai sebahagian daripada sambutan Festival Kuching 2025.

Tahun ini, perarakan tersebut menampilkan 52 kontinjen dengan penyertaan kira-kira 2,000 peserta melibatkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, kumpulan Kejiranan Mesra (KJM) serta institusi pengajian tinggi (IPT).
Setiap kontinjen mempersembahkan kreativiti masing-masing menerusi pancaran cahaya yang memukau, persembahan muzik, tarian budaya dan kostum berwarna-warni yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta keharmonian rakyat Sarawak.

Naib johan bagi kategori terbuka, swasta dan NGO adalah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), manakala tempat ketiga dirangkul oleh Kasuma Tari.

Bagi kategori jabatan kerajaan, Jabatan Tanah dan Survei dinobatkan sebagai johan; naib johan pula Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di tempat ketiga.

Kontinjen Sarawak Skills merangkul gelaran johan bagi kategori terbuka, KJM, IPT awam/swasta, manakala naib johan dimenangi Kolej SIDMA Sarawak, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan tempat ketiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tabuan Lot.
Bagi kategori kenderaan, basikal Brotherhood Community Club bergelar johan, Kuching BMX Freestyle (naib johan) dan Foldies Cycling Club, Kuching (ketiga).

Kategori motosikal menyaksikan MYUS Autotech Sdn Bhd (johan), TM Technology Services Sdn Bhd (naib johan) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak (ketiga).

Kategori kereta dan kenderaan lain pula dimenangi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak sebagai johan, manakala Cats FM (naib johan).

Kesemua pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000.



image Polls
image Announcement