Kuching Street Parade 2025 “Parade of Lights” Serikan Pesta Kuching
Posted on 17 Aug 2025
Source of News: UKAS Sarawak
KUCHING: Malam di Padang Merdeka bertukar gemerlapan apabila Kuching Street Parade (KSP) 2025 yang bertemakan “Parade of Lights” berlangsung penuh meriah sebagai sebahagian daripada sambutan Pesta Kuching 2025.
Sebanyak 56 kontinjen melibatkan hampir 2,000 peserta daripada agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), Kejiranan Mesra (KJM) serta institusi pengajian tinggi mengambil bahagian, menampilkan kreativiti melalui tarian, muzik, busana berwarna-warni dan hiasan cahaya yang memukau.
Perarakan bermula dari Travillion Commercial Centre dari jam 6 petang sebelum berakhir di Padang Merdeka.
Pelepasan perarakan itu telah disempurnakan bersama-sama oleh Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Zaiedi Suhaili, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ramzi Abdillah serta Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimier Malek.
Walaupun hujan lebat melanda bandar raya pada sebelah petang, semangat para peserta tetap tidak luntur.
Lebih 5,000 pengunjung turut sama membanjiri pusat bandar bagi menikmati suasana penuh semangat perayaan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1990-an, Kuching Street Parade terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh warga tempatan tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negara.
Lebih daripada sekadar perarakan, acara ini menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, selain mempromosikan sektor pelancongan serta mengukuhkan imej Kuching sebagai bandar raya yang kaya dengan tradisi, budaya dan semangat komuniti.
Acara ini turut menyaksikan pengiktirafan kepada kontinjen terbaik menerusi beberapa kategori.
Bagi kategori swasta, Legends in Lights – The Glorious 40’s, yang merupakan gabungan veteran bekas pelakon, pengarah dan tenaga produksi kreatif Sarawak, dinobatkan sebagai juara.
Dalam kategori kerajaan, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak muncul juara, manakala Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) meraih naib juara.
Kedua-duanya masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000.
Bagi kategori kenderaan berhias pula, stesen radio Cats FM berjaya menduduki tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian bersama-sama dif-dif kehormat lain.-EDISI UKAS