News

 

Premier perkenan projek pembangunan ‘Lebuk Melanau’ bernilai RM55 juta

Posted on 26 May 2025
Source of News: Suara Sarawak

RAKAM KENANGAN…Abang Johari dan Len (lima kiri) merakam kenangan bersama yang lain dalam kunjungan hormat tersebut. (FOTO: UKAS)

KUCHING: Projek pembangunan ‘Lebuk Melanau’ yang bernilai RM55 juta, inisiatif Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak (LAKKMS) menerima sokongan padu daripada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, projek yang bakal direalisasikan itu adalah sebuah kompleks pelbagai guna dan memberi impak besar kepada komuniti serta ekonomi setempat.

“Ia akan dibina atas tanah seluas lebih dua ekar dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan lokasi strategik adalah berhampiran Universiti Swinburne, Borneo Medical Centre dan Bangunan Sultan Iskandar.

“Ia amat sesuai dijadikan penginapan sementara pensyarah luar negara, pakar perubatan atau sesiapa sahaja yang datang berkhidmat di Sarawak untuk tempoh jangka pendek atau panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat LAKKMS terhadap Abang Johari, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Katanya lagi, pembangunan itu melibatkan pembinaan sebuah bangunan sembilan tingkat yang akan menempatkan dewan serbaguna, pangsapuri, ruang kerja, kantin dan pelbagai kemudahan sokongan lain bagi memenuhi keperluan komuniti setempat serta pelawat professional.

Reka bentuk serta konsep bangunan telah dimuktamadkan dan kini projek berkenaan berada di peringkat akhir perincian sebelum dibuka tender, dijangka sekitar Ogos atau September tahun ini.

“Kita turut menerima pandangan strategik daripada Abang Johari yang mencadangkan beberapa penambahbaikan pada pelan asal agar pembangunan ini lebih berimpak dan selari dengan persekitaran lokasinya.

Len berharap agar projek ini dapat disiapkan sebelum temasya Sukan SEA akan datang.

Tambahnya, ia akan menambah nilai kepada kemudahan bandar dan menyokong aspirasi Sarawak dalam memperkukuh pelancongan perubatan dan pendidikan.

Hadir sama, Pengerusi LAKKMS Awang Zamhari Awang Mahmood dan Timbalan Pengerusi LAKKMS Samat Junai.

 



image Polls
image Announcement