Lautan Biru SLDB Dragon Boat Team Tuaran dan Jetama Entulon Family DBT masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
N82 Bukit Sari Lawas membawa pulang piala, wang tunai RM10,000 dan pingat. Tempat kedua dan ketiga pula menerima masing-masing RM5,000 dan RM3,000 beserta pingat.
Meskipun hujan lebat melanda pada awal pagi, pasukan tempatan dan antarabangsa tetap turun beraksi dengan penuh semangat kesukanan dan komitmen tinggi.
Acara yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) ini menampilkan 11 piala utama yang dipertandingkan dalam kategori lelaki, wanita, campuran, remaja dan veteran, merangkumi jarak perlumbaan sejauh 800 meter dan 200 meter.
Dalam kategori pasukan lelaki tempatan, Jetama Entulon Family Senior muncul juara bagi Piala Ketua Menteri Sabah, diikuti oleh Landas Kasihnya Warisan di tempat kedua dan Sri Sundar di tempat ketiga.
Bagi kategori campuran yang turut melibatkan penyertaan wanita, pasukan RMP Paddlers menjuarai Piala Naga FCAS Sabah selepas menewaskan DBKL dan Sabah River Raptors ITCC.
Pasukan KKCCCI pula membuktikan keunggulan mereka apabila menggondol dua kejuaraan menerusi Piala FCAS bagi Pasukan Campuran Ahli FCAS Kota Kinabalu dan Piala FCAS untuk Pasukan Campuran Cina Malaysia yang mewajibkan sekurang-kurangnya lapan peserta wanita.
Sementara itu, pasukan KKCCC merangkul kejuaraan dalam kategori Lelaki Cina Malaysia menerusi Piala FCAS, selepas menewaskan Kuching Dragon Boat Club (KDB) dan KK Hakka Dragon Boat Team.
Dalam kalangan pasukan remaja, Sibling Performance Team menonjol sebagai juara Piala Junior Kinabalu, mengatasi cabaran Lentuong Junior SLDB Team dan Jetama Entulon Family Junior.
Saingan dalam kategori 200 meter turut berlangsung sengit. PS Dragon Boat Team muncul juara Piala Naga Kinabalu bagi kategori Lelaki Terbuka, manakala Dragon Boat Club dari Universiti CUHK, Hong Kong, menjuarai Piala Campuran Kinabalu.
Dalam perlumbaan wanita pula, pasukan Karapaw berjaya memenangi Piala Phoenix Kinabalu setelah mengatasi KKCCCI dan Kuching Dragon Boat Club.
Kategori veteran atau “master” turut menjadi tumpuan apabila pasukan PNK Master Dragon Boat meraih Piala Master Kinabalu bagi peserta lelaki berumur 45 tahun ke atas, meninggalkan DBKL dan Lela Cheteria di belakang.
Pengerusi penganjur, Tan Sri T.C. Goh, berkata perlumbaan tahun ini sekali lagi membuktikan bahawa sukan perahu naga bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, malah terus menjadi simbol semangat perpaduan dan kekuatan komuniti pelbagai kaum dan negara melalui kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan yang tinggi.
Beliau yang juga Presiden FCAS menambah, perlumbaan kali ini turut disertai peserta dari luar negara seperti Hong Kong, Singapura dan Brunei Darussalam, dan pihaknya berharap lebih banyak penyertaan antarabangsa diterima pada edisi akan datang, bukan sahaja untuk bertanding, tetapi juga sebagai satu bentuk pelancongan sukan.
“Pada tahun hadapan, acara ini sekali lagi akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada 15, 16 dan 17 Mei. Kita berharap penyertaan akan bertambah,” katanya.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe bagi mewakili TYT Tun Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.