News

 

Penyukatan tanah NCR dilakukan secara teliti

Posted on 16 May 2025
Source of News: Utusan Borneo


Para penerima melaungkan terima kasih dengan pengeluaran surat hak milik tanah sambil merakam gambar bersama Awang Tengah (duduk empat kiri), Awang Zamhari, Jasni, Muhamad Yakup, Haslinda (duduk kanan), Kennedy, Iskandar dan Nyurak (duduk kiri).

BINTULU: Penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dilulus setelah menerima permohonan daripada penuntut tanah tersebut namun perlu disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, proses penyukatan tanah NCR dibuat supaya pemiliknya mempunyai dokumen pemilikan, sempadan tanah yang jelas dan tanahnya tidak diceroboh.

Beliau berkata, kerajaan telah memperkenalkan program pengukuran tanah NCR pada tahun 2010 secara dua peringkat iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

Katanya, pada peringkat kedua pula pengukuran dibuat secara lot individu sebelum surat hak milik tanah dikeluarkan di bawah Seksyen 18 KTN.

"Mana-mana tanah terlibat pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak dilaksanakan melainkan kes telah ditarik balik, namun sekiranya penuntut mahukan penyukatan tanah itu semula, mereka juga perlu memohon semula dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Bahagian Bintulu di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, Pengarah JTS Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Jasni Jubli, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti,  Penguasa JTS Bahagian Bintulu Haslinda Hamdan dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhamad Yakup Kari.

Dalam pada itu Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, dari tahun 2010 hingga 30 April 2025, JTS Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter seluas 1,200,766 hektar tanah (2.9 juta ekar) di seluruh Sarawak.

"Daripada jumlah tersebut seluas 935,760 hektar atau 2.3 juta ekar tanah telah diwartakan yang memperlihatkan besarnya keluasan disukat melalui program ini," jelasnya.

Pada masa sama katanya, program pengukuran tanah NCR insiatif baharu ini diwujudkan semasa Government Transformation Programme (GTP) Sabah-Sarawak Bumiputera Lab bermula 22 Februari hingga 5 Mac 2010 yang dipantau menerusi Program Khas Bumiputera (PKB) oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Melaluinya katanya, sesi dialog diadakan dengan penuntut tanah NCR untuk memberi penerangan dan mendapat maklum balas sebelum kerja pengukuran sebenar di lapangan dilaksanakan.

"Pengukuran hanya dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah terlibat namun sekiranya tidak mahu diukur perimeter, kerja pengukuran tidak dilaksanakan," katanya.

Katanya, bagi memastikan pengukuran lot individu dilaksana dengan lancar, penuntut tanah NCR perlu memberi kerjasama penuh kepada JTS Sarawak, mengenal pasti sempadan tanah dengan membuat rintisan jelas, tanah dituntut bebas daripada sebarang pertikaian sempadan dan tuntutan.

Manakala bagi pemilik tanah yang berkongsi sempadan katanya, mereka perlu hadir di lapangan semasa kerja pengukuran.

Tegasnya, kerjasama penuh ketua kaum, ketua masyarakat dan pemilik tanah NCR sangat penting dalam program pengukuran tanah NCR ini bagi mengelak kelewatan sekali gus dapat mempercepatkan pengeluaran surat hak miliknya.

Beliau berkata, setakat 30 April 2025, sebanyak 99,438 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 118,749 hektar (293,429 ekar) dengan 32,450 lot tanah telah dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 KTN yang berkeluasan 45,510 hektar (112,455 ekar).

"Ini termasuk Surat Hak milik Tanah (SHT) Seksyen 18 KTN diserahkan hari ini untuk enam kawasan iaitu Kawasan Ambak Anak Usah, Sungai Rassan Tubau (53 SHT, 42 penerima, 91.23 hektar); Jawatankuasa Induk Biro Tanah Kawasan Sungai Kelawit Tatau (218 SHT, 180 penerima, 532,39 hektar); Sungai Teban (92 SHT, 49 penerima, 353.62 hektar); NCR Kuala Segan (37 SHT, 30 penerima, 68.71 hektar); Sungai Segaung Batang Kemena, Sebauh (45 SHT, 38 penerima, 129.81 hektar) dan Sungai Setong, Sepadok (8 SHT, 6 penerima, 11.91 hektar)," katanya.

Keseluruhannya 453 SHT dikeluarkan dan 345 orang telah menerimanya hari ini dengan keluasan keseluruhan tanah itu ialah 12,166 kilometer persegi di Bintulu.

Justeru Awang Tengah berkata, program itu akan diteruskan selagi diperlukan dan kerajaan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR ini dengan penyukatannya adalah percuma.

"Surat hak milik tanah dikeluarkan di bawah Seksyen 18 KTN juga tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium dan tempoh pegangannya kekal," katanya.


 


image Polls
image Announcement