News

 

Bersyukur miliki geran tanah sendiri

Posted on 22 Apr 2025
Source of News: Suara Sarawak



ASAJAYA: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menyerahkan sejumlah 66 geran tanah kepada penduduk kampung di Kampung Moyan Laut, hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asajaya berkata, proses penyerahan tersebut antara usaha yang giat dijalankan oleh pihak JTS bukan sahaja membabitkan Kampung Moyan tapi merangkumi seluruh Sarawak.

“Kita sedia maklum kerja-kerja menyukat tanah ini memang sukar, jadi apabila usaha ini berjaya dilakukan, pemilik tanah dapat memiliki geran tanah mereka sendiri,” katanya.

Pada masa yang sama, Karim menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dalam usaha memastikan rakyat memiliki geran tanah sendiri.

Geran tanah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak oleh Kerajaan memperuntukkan pemilik tanah tidak perlu membayar sebarang kos untuk mendapatkan geran.

Hal ini kerana kesemua perkhidmatan membabitkan gerak kerja penyukatan ditanggung oleh kerajaan, sekali gus menjadi salah satu usaha kerajaan mengurangkan beban rakyat terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Ditanya sama ada terdapat isu tanah berlaku di kawasannya, Karim memberitahu bagi kes isu tanah di Tambirat, pihak kerajaan bersetuju mengambil alih tanah tersebut.

“Terdapat empat lot yang terlibat dalam kawasan Tambirat dan bagi keseluruhan itu, kerajaan akan ambil alih dengan pembayaran pampasan kepada tuan punya tanah.

“Menerusi JTS, kita akan mengatur sempadan baharu menerusi cadangan sama ada mereka dikekalkan di tempat lama atau skim pembesaran kampung,” ujarnya.



image Polls
image Announcement